Sorting by

×

Terjejas akibat COVID-19, Hotel Istana Kuala Lumpur umum tutup operasi 1 Sept

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR 1 Julai – Hotel Istana Kuala Lumpur mengumumkan penamatan operasinya bermula 1 September ini susulan terkesan dengan penutupan sektor pelancongan akibat pandemik COVID-19.

Pengumuman itu berdasarkan penularan sepucuk surat bertarikh 30 Jun 2021 yang ditandatangani pengurus besar hotel lima bintang berkenaan Noorazzudin Omar hari ini.

Surat berkenaan menjelaskan pihak pengurusan tiada pilihan selain menutup operasi hotel 23 tingkat berusia 29 tahun di Jalan Raja Chulan itu dengan menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada para pekerja.

PENULARAN sepucuk surat bertarikh 30 Jun 2021 ditandatangani Noorazzudin Omar yang tersebar hari ini.

 

“Keadaan sekarang bertambah buruk dengan pandemik COVID-19 yang telah dan mempengaruhi industri kami dan kemampuannya untuk meneruskan kelangsungan operasi seperti biasa.

“Kami sudah capai keputusan selepas mempertimbangkan keadaan semasa dan semua pilihan yang ada.

“Dengan rasa dukacita kami ingin memaklumkan keputusan untuk menutup operasi kami dijangka pada 1 September 2021,” katanya menerusi surat yang tular itu dipercayai untuk edaran kepada pekerjanya.

Selain itu beliau menambah, pihak hotel masih tidak mampu menanggung kerugian operasi bulanan walaupun dijadikan sebagai pusat kuarantin bagi pengurusan wabak COVID-19.

Keadaan tersebut, katanya, telah memberi kesan kepada perniagaan, keuntungan dan bilangan pelanggan yang menghuni hotel tersebut.

“Di sini juga, kami inginkan memaklumkan, pihak hotel akan menawarkan kepada pekerja-pekerja skim VSS. Pihak sumber manusia akan menghubungi anda (pekerja) dalam masa terdekat,” katanya.

SEMAKAN menerusi laman web rasmi Hotel Istana Kuala Lumpur mendapati, tiada bilik tersedia untuk tempahan bertarikh 1 September 2021.

Sementara itu, Melaka Hari Ini (MHI) ketika menghubungi pihak Hotel Istana, dimaklumkan setakat tengah hari ini pekerja masih belum menerima notis yang tersebar secara rasmi.

Semakan MHI menerusi laman web rasmi hotel terletak di kawasan segi tiga emas itu mendapati, tiada bilik tersedia untuk tempahan bertarikh 1 September ini sekaligus menguatkan lagi kesahihan surat yang tersebar.

Bagaimanapun kami sedang berusaha untuk mendapatkan kenyataan rasmi berhubung penutupan hotel ini yang merupakan antara hotel terkenal di ibu negara selepas pembinaannya selesai pada tahun 1992.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1479
Kongsi :
Previous post Moratorium: Wang bulanan kepada bank dijadikan tabung kecemasan
Next post 9.1 juta pelanggan TNB nikmati diskaun bil elektrik di bawah PEMULIH
Ubah saiz-+=