Maklum balas segera bukti pakej rangsangan ekonomi amat dinanti rakyat
AYER KEROH 1 Julai – Maklum balas segera diterima Kerajaan Negeri daripada rakyat bertanyakan cara untuk memohon bantuan dan inisiatif membuktikan Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2020: Sejahtera Bersama sememangnya dinanti rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Beliau berkata, sebaik selesai mengumumkan pakej rangsangan itu beliau menerima banyak maklum balas termasuk dalam media sosial.
“Rakyat di bawah sana ada yang bertanyakan bagaimana mereka boleh memohon untuk mendapatkan bantuan dan pelbagai inisiatif diumumkan itu.
“Apabila kita menerima maklum balas sedemikian, ertinya pakej rangsangan yang kita umumkan itu memang sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat di Negeri Melaka yang memang terkesan,” katanya semasa bersiaran langsung dalam Bicara Ketua Menteri bersama MelakaFm di sini hari ini.
Sulaiman berkata, sehubungan itu kejayaan pakej rangsangan ekonomi itu terletak kepada sejauh mana keberkesanan tindakan dan maklum balas dilakukan oleh jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dengan kesemua inisiatif disediakan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan negeri memperuntukkan pakej bantuan sebanyak RM195.98 juta buat rakyat di negeri ini sekali gus menjadikan Melaka antara negeri terbesar menyalurkan peruntukan itu berbanding negeri lain.
Katanya, daripada jumlah itu ia melibatkan Pakej Sejahtera Bersama sebanyak RM174.53 juta dan Pakej Bantuan Fasa 1 pada tahun lalu berjumlah RM21.45 juta.
“Ini satu jumlah yang cukup besar, malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ini adalah pakej bantuan kerajaan negeri antara yang terbesar, kalau nak dibandingkan dengan negeri-negeri lain di seluruh negara.
“Sebanyak 60 inisiatif telah saya bentangkan, ia tidak termasuk lebih 100 inisiatif yang telah saya bentangkan dalam Belanjawan 2021 Negeri Melaka pada tahun lalu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.