Infrastruktur nelayan di Melaka akan dibaik pulih

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

PANTAI KUNDOR 11 Julai – Kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan permasalahan membabitkan nelayan di negeri ini dan akan berusaha membantu dalam segenap aspek.

Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, antara usaha yang akan dilakukannya ialah membaik pulih infrastruktur nelayan yang kian usang, selain ada beberapa pengkalan nelayan yang turut terkesan dengan hakisan pantai.

Katanya lagi, pihaknya juga sudah memohon peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke – 12 (RMKe-12) dan berharap ia akan mendapat kelulusan sewajarnya dalam usaha memajukan lagi sektor perikanan di Melaka.

“Saya ada melawat beberapa tempat (pengkalan nelayan) yang boleh dibaik pulih. Yang mana kita boleh baiki akan kita baiki kerana ini adalah satu keperluan buat nelayan yang memerlukan satu tempat yang teratur.

“Kita sudah berbincang dengan agensi-agensi terlibat serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membaiki struktur-struktur yang boleh dibaik pulih, begitu juga membabitkan pantai yang terkesan dengan hakisan sehingga menyukarkan nelayan untuk mendarat dan memunggah hasil tangkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu.

Untuk rekod, sehingga kini, terdapat seramai 1,126 nelayan yang berdaftar di seluruh negeri Melaka.

Views:

383
Kongsi :
Previous post Belacan Melaka laris hingga ke luar negara
Next post Penduduk Pantai Kundor teruja KM turun padang
Ubah saiz-+=