Sorting by

×

Strategi serampang dua mata: Bantu rakyat, pulih ekonomi Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SERI NEGERI 29 Jun – Keseimbangan antara keperluan membantu rakyat dan ekonomi menjadi sebahagian teras utama dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021: Sejahtera Bersama yang diumumkan 18 Jun lalu.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, berbeza dengan Pakej Bantuan COVID-19 Fasa 1 tahun lalu, kali ini, kerajaan negeri menggunakan pendekatan strategi serampang dua mata yang berfungsi bukan sahaja membantu rakyat yang terkesan tetapi pada masa sama juga sebagai persediaan awal untuk membolehkan ekonomi negeri berjalan seperti biasa apabila semuanya berakhir.

Justeru, ujarnya, pakej yang yang bersifat inklusif dan komprehensif itu akan memberi tumpuan merangkumi keseluruhan masyarakat di Negeri Melaka termasuk industri tempatan.

“Pakej menyeluruh ini berteraskan keseimbangan hubungan simbiosis antara apa yang dipanggil, ‘People Economy’ dan ‘Capital Economy’ yang terangkum dalam 60 inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini.

“Dari sudut ‘People Economy’, ia berorientasikan keperluan dan kepentingan rakyat secara langsung seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan keusahawanan serta kualiti hidup.

“Manakala, ‘Capital Economy’ pula merujuk kepada pengurusan dan dasar ekonomi makro pasca pandemik COVID-19 ini terutamanya yang berkaitan dengan pengurusan ekonomi berasaskan modal, pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), pendapatan perkapita, pelaburan swasta, pasaran modal serta keuntungan syarikat bagi menggerakkan ekonomi demi kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini di pejabatnya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keperluan untuk menyeimbangkan bantuan kepada rakyat dan mewujudkan pakej pelan pemulihan ekonomi amat penting, memandangkan negara sedang melalui fasa pemulihan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan 80 peratus rakyat negara ini divaksin menjelang awal tahun depan.

“Jika dahulu lebih kepada membantu rakyat menerusi ‘People Economy’, namun kali ini perlunya ada keperluan membantu dari segi ekonomi terutamanya terhadap sektor pelancongan dan pembuatan.

“Kita tidak boleh tunggu sehingga ekonomi pulih, sebaliknya perlu bermula lebih awal bagi memastikan ekonomi negeri terus bergerak secara perlahan-lahan dan pada masa sama, dapat menarik minat pelabur untuk melabur di negeri ini bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negeri,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1419
Kongsi :
Previous post ‘Tolong jawab telefon, mudahkan rakyat terima bantuan’
Next post Pakej rangsangan ekonomi Melaka antara tertinggi dalam negara
Ubah saiz-+=