Sorting by

×

Pengusaha TASKA, TADIKA dapat ‘pelampung’ tatkala hampir lemas

Masa Membaca:2 Minit, 51 Saat

KLEBANG 29 Jun – Pengusaha Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) berdaftar di negeri ini mampu menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan bantuan sekali bayar RM3,000 menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), semalam.

Pengusaha TASKA Iman Mutiara di Taman Nirwana, Noramizah Ahmad, 49, mengakui bantuan itu datang tepat pada masanya memandangkan rata-rata pengusaha kini berdepan keperitan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sejak PKP dilaksanakan, pendapatan TASKA dan TADIKA miliknya jatuh merudum sehingga 70 peratus memandangkan hanya anak-anak dalam kalangan ibu bapa bekerja sebagai petugas barisan hadapan sahaja dibenarkan hadir ke premis.

NORAMIZAH menunjukkan kit pembelajaran yang disediakannya untuk membantu pembelajaran anak-anak di rumah selain mengadakan kelas secara dalam talian.

“Boleh dikatakan sekarang ini hanya 20 peratus pelajar sahaja yang dibenarkan dan itupun hanya melibatkan anak-anak ‘frontliner’. Bayangkan berapa banyak pendapatan kita yang berkurangan.

“Sehinggakan saya terpaksa mengurangkan gaji pekerja, walaupun kebanyakan mereka terpaksa bekerja seperti biasa menerusi kelas secara dalam talian.

“Memang tak cukup nak tampung pembayaran gaji, bil-bil utiliti dan sewa dengan situasi sekarang, malah ada pengusaha yang sudah gulung tikar sejak pandemik melanda.

“Jadi, bantuan ini memang kita nanti-nantikan kerana walaupun tidak menampung semua perbelanjaan, namun sekurang-kurangnya ia dapat digunakan untuk membayar keperluan penting termasuk untuk keperluan sanitasi dan sebagainya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, dia turut menzahirkan harapan agar kerajaan menyegerakan pemberian vaksin kepada guru-guru TASKA dan TADIKA bagi membolehkan sektor pendidikan awal kanak-kanak itu dapat beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Presiden Persatuan TASKA dan Pusat Jagaan Kanak-kanak (PJKK) Negeri Melaka, Kenneth William John turut merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memandang dan mengiktiraf sumbangan pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau bagaimanapun, berharap bantuan kewangan tersebut diberikan secara menyeluruh termasuk kepada pengusaha TASKA yang sedang dalam proses pendaftaran dan juga pengusaha PJKK di seluruh negara.

“Kalau boleh pemberian itu diberikan juga kepada TASKA yang sedang dalam proses pendaftaran kerana saya difahamkan ada antara pengusaha ini sudah mendaftar lebih awal, namun masih belum diluluskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disebabkan PKP.

“Begitu juga dengan pusat jagaan kanak-kanak yang tidak menerima apa-apa bantuan langsung.

“Jadi, kita harap kalau tidak diberikan penuh sekalipun, berikanlah sesuatu untuk sekurang-kurangnya meredakan bebanan mereka ketika ini,” katanya.

Pada masa sama, Kenneth turut menyeru kerajaan mempertimbangkan agar pusat jagaan kanak-kanak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Program Pemulihan Negara (PPN) berikutan terdapat banyak keluhan daripada ibu bapa yang tiada tempat untuk menghantar anak-anak mereka ketika keluar bekerja.

Jelasnya, pusat jagaan berkenaan yang dikhususkan sebagai transit untuk anak-anak berusia 7 hingga 18 tahun itu juga perlu diberi perhatian memandangkan sektor itu kini hanya tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’.

“Apa alasan untuk tidak membenarkan pusat jagaan kanak-kanak ini beroperasi sedangkan banyak sektor industri dan perkilangan dibenarkan operasi ketika ini.

“Perlu faham, pusat jagaan kanak-kanak ini tidak sama seperti pusat jagaan orang tua atau orang kurang upaya (OKU). Ia hanya beroperasi secara harian sehingga jam 5 atau 6 petang sahaja.

“Lagipun, sebelum ini, setiap pusat jagaan kanak-kanak sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), jadi, pada saya tiada masalah untuk ia dibenar beroperasi bagi menjaga kebajikan anak-anak yang mungkin terpaksa ditinggalkan ketika ibu bapa keluar bekerja,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1198
Kongsi :
Previous post JIM Melaka tahan 35 PATI
Next post Selebriti wanita positif dadah ditahan polis
Ubah saiz-+=