Bapa didakwa rogol anak kandung
AYER KEROH 25 Jun – Seorang pengganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Ayer Merbau, Bemban bulan lalu.
Tertuduh berusia 39 tahun itu memohon dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan terhadap anak perempuan sulungnya, berusia 18 tahun di rumah beralamat Batu 15, Kampung Ayer Merbau, Bemban, dalam daerah Jasin pada jam 1 pagi 23 Mei lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.
Pertuduhan kedua, bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama pada waktu dan hari serta lokasi sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nabilalif Mohd. Rosli tidak menawarkan sebarang jaminan mengambil kira keselamatan pengadu kerana tertuduh tinggal serumah dengan anak perempuannya.
Mohd Nabilalif bagaimanapun mencadangkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberi jaminan kepadanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan dengan alasan mempunyai penyakit gout dan tidak bekerja serta bergantung kepada pendapatan isterinya sebagai tukang bersih surau selain menerima bantuan agensi kerajaan.
Nariman dalam penghakimannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak menganggu dan berkomunikasi dengan mangsa dan saksi iaitu isterinya sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26 Julai depan bagi serahan dokumen termasuk laporan perubatan.
Difahamkan, remaja perempuan yang tidak bersekolah sejak berusia 12 tahun itu menjadi mangsa pemuas nafsu bapa kandungnya sejak berusia tujuh tahun.
Mangsa bagaimanapun tampil membuat laporan polis 28 Mei lalu.
TERTUDUH yang didakwa merogol anak kandungnya dibawa keluar oleh pengiring polis di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.