Ada yang nak lari balik, takut divaksin!
TABOH NANING 25 Jun – “Ada yang sudah duduk menunggu giliran untuk divaksin tetapi pada saat-saat akhir membatalkan niat tersebut, namun kami (petugas hadapan) sudah biasa dengan karenah seperti ini,” kata Ketua Jururawat Klinik Kesihatan Pulau Sebang, Azlina Jahaya.
Menurut Azlina, 40, dia dan rakan setugasnya yang lain sudah menjangkakan akan berdepan situasi tersebut sejak mendaftar masuk memulakan tugas kira-kira sebulan lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE) Alor Gajah.
Katanya, golongan warga emas paling ramai menunjukkan karenah tidak mahu divaksin berbanding kumpulan dewasa lain.
“Ada warga emas yang saat-saat terakhir nak balik, tak jadi nak ambil vaksin, namun kami akan pujuk dan ceritakan tentang kepentingan vaksin ini untuk menguatkan antibodi badan, walaupun mengambil masa akhirnya warga emas itu bersetuju mengambil vaksin.
“Kalau diikutkan memang sangat letih kerana kami perlu berdiri seharian di PPV sehingga kaki lenguh, namun kami sudah biasa dengan kerja seperti ini kerana inilah rutin ketika bertugas di klinik ataupun di hospital,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).
Jururawat Wan Yati Wan Ismail, 40, berkata, ada juga orang awam yang sedang menunggu giliran untuk divaksin ‘curi-curi’ merakamkan jururawat sedang memberi vaksin dalam bilik khas vaksin.
Menurutnya, perbuatan tersebut dilarang dan tidak dibenarkan memandangkan bilik khas itu digunakan untuk menutup pandangan umum dan melindungi privasi awam khususnya golongan wanita.
“Ada yang cuba menyelak penutup bilik untuk merakam tugas vaksin oleh petugas kesihatan, namun dapat dihalang oleh jururawat dan menegur dengan baik bahawa perbuatan tersebut tidak dibenarkan, mujurlah orang awam terbabit menerima teguran.
“Selain itu, saya juga pernah ditanya sakit atau tidak jika divaksin atau adakah ada kesan yang tidak baik selepas pengambilannya, semua ini kami (petugas hadapan) tangani dengan sabar kerana ia sudah menjadi tugas,” katanya.
Selain Azlina dan Wan Yati, turut berkongsi pengalaman bertugas di PPV Dewan CREaTE, Dr. Dahlia Ismail, 28, yang mengakui suasana di pusat vaksin semakin berubah menjadi lebih sibuk pada masa ini berbanding ketika mula-mula dibuka pertengahan Mei lalu.
Menurutnya, bilangan orang awam untuk divaksin semakin meningkat pada setiap minggu ekoran keberkesanan kempen kesedaran pengambilan vaksin dalam kalangan masyarakat.
“Mula-mula dulu anggaran dalam 300 orang sehari yang datang untuk divaksin dan bilangannya semakin bertambah dan kini meningkat kepada 456 orang,” katanya.
Seorang lagi petugas perubatan, Dr. K. Malini berharap agar lebih ramai orang awam tampil segera mengambil vaksin yang disediakan oleh kerajaan bagi memastikan pandemik Covid-19 dapat ditangani dengan berkesan.
“Semua kemudahan yang disediakan ini adalah hak rakyat, jadi sesiapa yang enggan mengambil vaksin ini sangat rugi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.