Sorting by

×

PGA7 rampas 28 ekor lembu bernilai lebih RM282,000, dipercayai diseludup

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PASIR MAS 24 Jun – Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 28 ekor lembu dianggarkan bernilai RM282,240 yang dipercayai diseludup dari Thailand berdekatan Jalan Perumahan Prima Lubok Jong, di sini, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata kesemua lembu itu dirampas dalam kejadian pada 2 pagi, selepas kegiatan penyeludupan haiwan ternakan itu dikesan sepasukan anggotanya.

“Kita syaki kesemua lembu cuba dipindahkan ke lokasi lain pada awal pagi, bagi mengelak dikesan PGA. Kesemua lembu yang dianggarkan bernilai RM282,240 ini, kemungkinan untuk pasaran tempatan apatah lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Korban tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi. Foto fail.

Mengulas lanjut, Azhari berkata pihaknya merampas lembu berkenaan setelah menahan sebuah lori yang dipandu seorang pemuda berusia 21 tahun dalam keadaan mencurigakan ketika melalui jalan terbabit.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, pemandu lori itu gagal mengemukakan dokumen lengkap berkaitan haiwan ternakan itu yang dibawanya.

“Susulan itu, kesemua haiwan serta lori bernilai RM120,000 turut dirampas, manakala suspek yang berasal dari Kampung Repek, dekat sini, turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Azhari, kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 dan turut diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

405
Kongsi :
Previous post Kerajaan lulus pelaburan pengilangan sel solar bernilai RM42.2 bilion
Next post Majikan jangan caj pekerja, vaksin industri percuma
Ubah saiz-+=