Sorting by

×

Tiada keperluan tambah PKRC

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

 

TABOH NANING 24 Jun – “Tiada keperluan yang mendesak untuk tambah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) pada masa ini,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.

Bagaimanapun, katanya, rancangan itu diletakkan dalam tindakan kesiapsiagaan dan akan disemak dari semasa ke semasa mengikut keperluan pasukan petugas perubatan.

“Setakat ini, saya tidak nampak ia menjadi satu keperluan yang mendesak tetapi kita akan tingkatkan siap siagaan bagi tujuan itu.

“Kita akan semak keperluan tambahan tersebut dan tindakan itu dalam kesiapsiagaan kerana kita tidak tahu atau tidak nampak apa yang berlaku akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE) Alor Gajah.

 

MOHD REDZUAN bertanyakan sesuatu kepada Mohd. Roslan Shaari dari Lubok Cina ketika meninjau operasi PPV Dewan CREate Alor Gajah.

Menurut beliau, tindakan menambah PKRC akan dibuat sekiranya terdapat keperluan yang mendesak terutama dalam menampung bilangan pesakit Covid-19 yang bertambah.

“Misalnya sebelum ini, PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), kita dapati tempat tersebut tidak cukup besar maka kita tambah lokasi sementara, sama juga di negeri-negeri lain, kita lihat mana-mana dewan yang tidak pakai atau lokasi lain yang difikirkan sesuai sebagai tambahan nanti,” katanya.

Sementara itu pada perkembangan berasingan, beliau berkata, pembayaran elaun sukarelawan kesihatan di PPV dan PKRC akan dibuat pada masa terdekat.

“Kita dalam proses pembayaran elaun kepada kumpulan sasaran ini yang akan dilaksanakan oleh agensi Pengurusan Bencana, namun saya tidak dapat pastikan jumlah sebenar mereka yang layak mendapat bayaran elaun tersebut,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bayaran sagu hati sukarelawan kesihatan yang bertugas di lapangan termasuk di PPV dan PKRC dinaikkan daripada RM50 kepada RM100, bermula bulan ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

414
Kongsi :
Previous post Polis rampas 18.5 juta rokok seludup bernilai RM13.9 juta
Next post Sekarang bukan masa cerita politik
Ubah saiz-+=