Sorting by

×

MUFC makin serasi!

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

 

KEM latihan berpusat Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) yang diadakan selama dua minggu bermula 19 Jun lalu mula memberi impak positif terhadap aspek keserasian pemain.

Hal itu diakui Pengurus Pasukan MUFC, Muhammad Akram Abdullah yang menganggap semua pemain sedia ada termasuk tiga pemain baharunya kini seakan sebuah keluarga harmoni sejak mula menyertai kem latihan dan tinggal bersama.

Menurutnya, untuk minggu pertama, sesi latihan berpusat yang dikendalikan Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan lebih menekankan kepada latihan berpasukan bagi mencari keserasian dan kesefahaman pemain.

AKSI Giovane Gomes (dua dari kanan) yang mula menyesuaikan diri bersama MUFC dalam kem latihan berpusat di Stadium Hang Jebat. (FOTO: MUFC)

“Kem Latihan Berpusat ketika ini adalah peluang untuk meningkatkan persefahaman antara para pemain bermain dalam satu pasukan.

“Tempoh dua minggu ini mereka tinggal bersama seperti sebuah keluarga yang mana ini sedikit-sebanyak dapat mengeratkan hubungan di antara pemain sedia ada dan pemain-pemain baharu.

“Kita sangat berharap keakraban serta persefahaman ini dapat diteruskan di atas padang pada perlawanan sebenar ketika saingan Liga Super bersambung semula pada 24 Julai depan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Muhammad Akram turut memaklumkan dua penyerang import MUFC, Giovane Gomes dan Adriano Narcizo semakin menyesuaikan diri bersama pasukan walaupun baharu sahaja menyertai pasukan pada jendela perpindahan kedua, hujung bulan lalu.

Katanya lagi, prestasi yang dipamerkan kedua-dua pemain kelahiran Brazil itu juga kian memberangsangkan, selain mengharapkan gandingan duo serangan itu dapat membantu skuad Hang Tuah mengubah nasib pada pusingan kedua Liga Super.

ADRIANO Narcizo, penyerang baharu MUFC menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam sesi latihan. (FOTO: MUFC)

“Mereka (Gomes dan Narcizo) nampaknya boleh menyesuaikan diri dengan rakan-rakan khususnya Sony Norde yang banyak membantu mereka berkomunikasi bersama pasukan.

“Tempoh dua minggu kem ketika ini juga sangat penting untuk mereka mewujudkan persefahaman dengan rakan-rakan sepasukan dan setakat ini kita melihat mereka telah menunjukkan prestasi yang cukup memberansangkan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Muhammad Akram berkata, kem latihan berpusat itu akan tamat pada 3 Julai dan seterusnya bakal merangka sesi latihan lanjut serta aksi persahabatan sebelum berdepan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur pada 25 Julai.

Untuk rekod, MUFC kini menduduki tangga dua tercorot selepas mengutip 11 mata daripada 13 perlawanan.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

466
Kongsi :
Previous post Mekanik hilang kerja akibat PKP, rayu bantuan untuk sara keluarga.
Next post 159,159 dos vaksin diberikan di Melaka setakat semalam
Ubah saiz-+=