Sorting by

×

Penjara, denda jika tangkap burung pangling

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDAR MELAKA 18 Jun – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri mengingatkan orang ramai terutama pesawah supaya tidak menangkap burung pangling yang sering mencari makan di sawah kerana ia dilindungi.

Haiwan liar itu dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi spesies jantan.

Selain itu, jika burung yang ditangkap itu betina atau belum matang, pihak berkenaan boleh didenda RM200,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun.

Pengarah PERHILITAN negeri, Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, dalam operasi translokasi yang dijalankan pegawai jabatan itu di Batang Tiga, di sini pada 12 dan 13 Jun lalu, beberapa ekor burung berkenaan berjaya ditangkap.

“Operasi itu bertujuan mengurangkan ancaman burung berkenaan terhadap padi di kawasan itu dan haiwan berkenaan dipindahkan ke habitat sesuai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Burung pangling atau istilah saintifiknya ‘Porphyrio’ mempunyai paruh yang tidak bergigi dan sering mencari makan di sawah serta tasik, terutama pada awal pagi dan senja.

Ia berwarna ungu dan sekeluarga dengan burung ruak-ruak tetapi burung pangling lebih cantik dan lebih besar berbanding burung ruak-ruak.

Mohd Firdhaus berkata, meskipun sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan mulai 1 Jun lalu hingga 28 Jun ini, operasi menyelamat hidupan liar masih boleh dijalankan.

Selain itu, aktiviti kawalan konflik masih boleh dijalankan jika ada kecemasan seperti operasi menembak 12 babi di Pantai Rombang pada 11 Jun lalu berikutan kejadian seorang remaja lelaki cedera selepas motosikal ditungganginya dirempuh babi hutan dua hari sebelum itu.

Pegawai jabatan itu turut menangkap seekor buaya tembaga yang tersangkut pada jaring nelayan di Umbai pada 3 Jun lalu sebelum memindahkannya ke Paya Indah Wetland, Dengkil, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1906
Kongsi :
Previous post Melaka umum SOP ibadat korban 28 Jun – KM
Next post MUFC ‘berkampung’ di Paya Rumput
Ubah saiz-+=