Sorting by

×

Melaka jangka 8,000 penduduknya terima vaksin setiap hari mulai Julai depan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BUKIT PALAH 17 Jun – Melaka menganggarkan kira-kira 8,000 rakyatnya akan dapat menerima vaksin setiap hari bermula bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, ia susulan negeri ini sudah mempunyai 38 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) meliputi PPV awam, PPV khas selain bantuan daripada klinik serta hospital swasta.

Jelasnya, kesemua PPV yang ada itu sudah mula berfungsi setiap hari dalam usaha utuk mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 di negeri ini.

“Setiap hari suntikan vaksin berjalan di kesemua 38 PPV di seluruh negeri. Daripada 38 itu, 14 daripadanya adalah PPV awam, selain kita juga ada 3 PPV khas dan lebih 20 PPV di klinik swasta atau dikenali sebagai Pusat Pemberian Vaksin ‘General Practitioner’ (PPVGP).

“Untuk PPV awam, sehari kita berupaya menyuntik sehingga 7,200 orang dan jika dicampurkan kesemuanya, kita menjangkakan 8,000 suntikan boleh diberikan setiap hari,” katanya ketika ditemui melawat Special PPV Hospital Melaka di Auditorium Masjid Al-Azim.

Mengulas mengenai PPV khas Hospital Melaka yang mula beroperasi 14 Jun lalu, Rahmad berkata, ia diwujudkan untuk pemberian vaksin kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan terutama membabitkan pesakit kanser, darah tinggi dan buah pinggang selain orang kurang upaya (OKU).

“Kita telah mengenal pasti seramai 6,132 pesakit yang akan menerima suntikan di sini yang dijadualkan akan berlangsung sehingga Ogos nanti.

“Alhamdulillah sejak lokasi dipindahkan ke Auditorium Masjid Al-Azim, proses suntikan vaksin berjalan lancar dan tidak berlaku sebarang rungutan membabitkan kesesakan dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kewujudan 14 PPV awam di negeri ini melibatkan perbelanjaan yang tinggi, Rahmad berkata, kesemua kos itu tidak ditanggung kerajaan negeri, sebaliknya ia di bawah peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Malah katanya, masalah kekurangan petugas juga tidak berlaku kerana setiap PPV telah menempatkan petugas dan sukarelawan mencukupi untuk melancarkan proses vaksinasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

559
Kongsi :
Previous post CIDB tawar vaksin kepada 40,000 pekerja sektor pembinaan
Next post Melaka belum terima tambahan dos vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=