Pemain, pegawai MUFC terima vaksin Sinovac
JASIN 16 Jun – Lebih 30 pegawai dan pemain Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Jasin, semalam.
Mereka tiba di pekarangan hospital berkenaan kira-kira jam 2 petang bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 sebelum saingan Liga Super bersambung bermula 24 Julai depan.
Pengurus pasukan Muhammad Akram Abdullah berkata, pihaknya bersyukur kerana diberikan vaksin sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) disambung yang menyaksikan skuad Hang Tuah bakal menentang Seri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 25 Julai.
“Imunisasi ini sangat penting kerana mereka terdedah kepada pelbagai aktiviti dan perlawanan sekali gus dapat menjamin kesihatan serta keselamatan pemain,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Jurulatih MUFC, Zainal Abidin Hassan turut melahirkan rasa bersyukur kerana pemain sudah mula menerima vaksin sebagai persediaan mencapai imuniti berkelompok untuk menyertai perlawanan akan datang.
“Ini adalah untuk kebaikan pemain untuk masa hadapan dan kami akan sentiasa menjaga SOP (prosedur operasi standard) dengan baik bagi mengekang penularan COVID-19 di atas padang,” katanya.
MUFC antara pasukan Liga-M yang mula menerima vaksin selain Negeri Sembilan FC, Sabah FC dan Perak FC.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.