‘Jangan takut, jom ambil vaksin’
TANGGA BATU 15 Jun – Walaupun masih ada golongan antivaksin yang cuba menakutkan orang ramai mengenai pengambilan vaksin COVID-19, tidak ramai mempercayai atau terpengaruh dakyah mereka.
Hal itu terserlah hasil temubual Melaka Hari Ini (MHI) dengan tiga warga emas Kampung Pekan, dekat sini yang tidak sabar mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi melindungi diri daripada virus berbahaya itu.
Maimun Fakir Mohd, 61, berkata dia sudah mendaftar MySejahtera sejak tiga minggu lalu bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 tersebut.
“Alhamdulillah, anak dah daftarkan untuk dapatkan vaksin dan sekarang ini tengah tunggu giliran…, memang nak ambil vaksin kalau boleh cepat lagi bagus.
“Mak cik tak takut ambil vaksin dan sokong usaha ini, cuma kena sabar tunggu giliran,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).
Bagi Eddy Silek, 80, biarpun telah lanjut usia dia sedikit pun tidak berasa takut,malah lebih bersemangat untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
“Saya tunggu 18 Jun ini untuk ambil vaksin dos 1, tak sabar rasanya ingatkan hari ini atau esok tapi kena tunggu empat hari lagi.
“Tak rasa takut pun, ramai dah ambil vaksin semua boleh bertahan, insya-Allah vaksin ini terbaik untuk kesihatan kita semua,” katanya.
Sementara itu, Suria Abdul Ghani, 40, turut meluahkan hasrat supaya diberi peluang untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
“Kalau diberi mestilah saya nak, vaksin ini kan untuk antibodi kita, ia dapat pertahankan badan kita daripada kena virus COVID-19.
“Jadi sama-samalah kita ambil vaksin COVID-19 untuk lindungi diri kita sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.