Sorting by

×

Pesakit kategori 4, 5 meningkat, penggunaan katil ICU cecah 97 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PUTRAJAYA 14 Jun- Bilangan pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 yang diperoleh daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) perkhidmatan hospital di seluruh negara menunjukkan trend peningkatan bermula April lalu iaitu 6,751 kes kepada 30,287 kes pada Mei.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, peningkatan kes bagi kedua-dua kategori tersebut dijangka meningkat bulan ini memandangkan setakat semalam, terdapat 22,857 kes direkodkan di seluruh negara.

Pesakit kategori 4 adalah mereka yang memerlukan oksigen manakala kategori 5 adalah pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

Berikutan situasi melibatkan kategori 4 dan 5 itu, Dr Adham pada sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini, bersama Menteri Penyelaras program itu Khairy Jamaluddin berkata, kapasiti penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) kini mencapai 97 peratus.

Menurutnya, ketika ini terdapat 1,767 katil ICU di seluruh negara termasuk di hospital kerajaan dan hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan jumlah pesakit yang sedang menjalani rawatan rapi adalah 1,161 orang manakala 452 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata kerajaan menetapkan klinik dan pusat perubatan swasta untuk menyediakan bil terperinci bagi penjualan perkhidmatan ujian COVID-19 di premis mereka, sekiranya kos dikenakan melebihi harga siling setiap jenis ujian seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga siling bagi ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) berharga RM150, rapid molecular yang membolehkan ujian diperoleh dengan pantas pada harga RM270, Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen pada harga RM60 dan ujian pantas mengesan antibodi pada kadar RM50 di Semenanjung.

Di Sabah dan Sarawak pula, harga siling RT-PCR ditetapkan sebanyak RM200, RM350 bagi ujian rapid molecular, RM80 bagi RTK Antigen dan RM70 bagi ujian pantas antibodi.

Dr Adham berkata orang ramai boleh membuat aduan kepada CPRC dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) sekiranya klinik atau pusat perubatan swasta mengenakan harga tidak berpatutan untuk ujian saringan COVID-19.

“Kita buka ruang untuk orang ramai buat aduan jika dikenakan caj dengan harga tidak berpatutan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

352
Kongsi :
Previous post UPUOnline dibuka semula esok untuk lepasan SPM
Next post Pengamal perubatan swasta dijangka dapat beri 145,000 suntikan bulan depan
Ubah saiz-+=