Retak bahu dan patah lengan kiri disondol babi hutan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PANTAI KUNDOR 14 Jun – Seorang pelajar sekolah pondok berusia 15 tahun mengalami retak tulang bahu dan patah lengan kiri selepas motosikal ditungganginya terbabas ke dalam semak akibat dirempuh babi hutan pada malam Rabu lalu.

Azlina Mohamad, 48, berkata, kejadian berlaku jam 9 malam ketika anaknya, Tuah Mohd Iskandar Osman pergi menghantar makanan ke rumah datuk saudaranya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka di Kampung Pantai Rombang, Tanjung Kling di sini.

“Kami baru selesai menunaikan solat Isyak dengan diimamkan oleh Tuah dan saya memintanya menghantar makanan kepada datuknya.

“Saya amat terkejut apabila jiran bergegas ke rumah kami dan memberitahu Tuah terbabas ke dalam semak selepas dirempuh babi,” katanya di sini hari ini.

Azlina yang bertugas sebagai guru Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA ) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berkata, Tuah yang masih trauma memberitahunya, dia terlihat haiwan liar itu keluar dari semak dan terus meluru ke arahnya.

“Anak saya gagal mengelak dan tercampak ke dalam semak yang menyebabkannya retak tulang bahu dan patah lengan kiri, selain melecet pada kepala dan kaki,” katanya.

Azlina mendakwa, laluan berkenaan menjadi laluan babi yang dipercayai keluar dari hutan berhampiran.

Katanya, haiwan liar itu aktif mencari makan di sekitar kawasan berkenaan pada waktu malam dan membahayakan penduduk kampung, terutama pejalan kaki dan penunggang motosikal.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil tindakan menghapuskan haiwan itu.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri, Mohd Firdhaus Mahmood berkata, pegawai jabatan itu sudah menembak 12 babi hutan di kawasan berkenaan pada 11 Jun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1207
Kongsi :
Previous post PPV MMU sedia beroperasi mulai 16 Jun
Next post ‘Geng Bhai’ aktif pecah tapak binaan ketika PKP membabitkan kerugian setengah juta ringgit tumpas
Ubah saiz-+=