PPV MMU sedia beroperasi mulai 16 Jun
BUKIT BERUANG 14 Jun – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Multimedia (MMU) Melaka, dekat sini, sedia beroperasi 16 Jun ini bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.
Perkara itu dijelaskan Pengarah Kampus Melaka MMU Dr. Mohd Rizal Abdul Razak yang memaklumkan persiapan bagi pembukaan PPV berkenaan di Dewan Utama universiti itu kini mencapai 95 peratus.
“Dengan adanya PPV MMU ini kita dapat membantu melancarkan proses vaksinasi di Melaka dan ia dibuka mulai Isnin hingga Sabtu.
“Ini adalah idea Presiden MMU, Prof Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud yang menawarkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dijadikan sebagai PPV,” katanya.
Katanya PPV di MMU itu mampu memuatkan seramai 60 penerima vaksin pada satu-satu masa.
“Dewan kita adalah ‘type’ tiga yang mana kapisitinya lebih kecil berbanding di PPV Dewan Tun Ali yang boleh tampung 800 orang dalam sehari.
“Kita juga menyediakan 30 kakitangan MMU bagi khidmat sokongan bantuan dari unit fasiliti, keselamatan dan kebersihan,” katanya kepada MHI.
Sebelum ini kerajaan negeri mengumumkan penambahan lapan lagi PPV yang akan dibuka di Melaka.
Antara lokasi PPV itu ialah di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek, Sungai Udang dan Klebang selain MMU, Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Dewan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Bukit Beruang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.