Sorting by

×

Bapa Cheng Hoe meninggal dunia

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR 11 Jun – Suasana hiba menyelubungi kem skuad kebangsaan yang dijadualkan bertemu Vietnam pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, tengah malam ini, selepas bapa kepada Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe meninggal dunia hari ini.

Menurut Tan Cheng Hun, abang kepada Cheng Hoe, menerusi kiriman WhatsApp, bapanya Tan Chooi Siak, 95, meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 12 tengah hari tadi di rumahnya di Alor Setar, Kedah.

Cheng Hoe, 53, kini berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama skuad Harimau Malaya bagi mengharungi tiga aksi kempen kelayakan tetap akan menggalas tanggungjawab selaku pengendali pasukan negara pada perlawanan malam ini.

Malaysia akan menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengucapkan takziah kepada Cheng Hoe susulan berita sedih itu.

Pada masa sama, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi ciapan di Twitter rasminya turut mengucapkan takziah kepada Cheng Hoe dan keluarga atas pemergian bapanya.

Sementara itu di Alor Setar, keluarga Cheng Hoe berharap jurulatih negara itu dapat membimbing pasukannya untuk memenangi perlawanan menentang Vietnam tengah malam ini meskipun sedang bersedih atas kehilangan ayahnya.

Kakak ipar Cheng Hoe, Ooi Bee Leng, 57, berkata seluruh keluarga berharap Cheng Hoe yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik itu terus menguatkan semangat dan dapat memenangi perlawanan tengah malam ini buat ayahnya yang tidak pernah terlepas menyaksikan perlawanan melibatkan skuad negara.

“Cheng Hoe tidak sempat untuk balik jadi dia minta kami adik-beradik untuk selesaikan urusan ayah. Mayat ayah dijangka akan dibakar Selasa depan.

Ayah tiada penyakit lain, cuma hari ini dia ada kahak sedikit jadi ahli keluarga bawa dia ke klinik pada 9 pagi. Masa itu, ayah memang sudah kelihatan sedikit letih dan saya juga sempat cakap dengannya bahawa malam ini anaknya ada perlawanan bola sepak.

“Sampai di klinik, dia semakin tidak larat jadi kami bawa dia pulang dan selepas itu dia meninggal dunia di rumah. Saya ada hubungi Cheng Hoe untuk maklumkan bahawa ayah sudah meninggal dunia dan walaupun sedih dia tahu tiada apa boleh dilakukan kerana usia ayahnya yang sudah tua,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, anak Cheng Hoe, Tan Yi Khai, 26, berkata beliau menghubungi ayahnya hari ini dan turut berpesan supaya memberi fokus kepada perlawanan malam ini dan menjadikan ia sebagai semangat untuk berusaha memenangi perlawanan ini untuk datuknya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1330
Kongsi :
Previous post Hospital Jasin lakar sejarah terima sijil LEED
Next post Juruteknik komputer sekolah dan suami ditahan miliki dadah
Ubah saiz-+=