Sorting by

×

Ikan lumba-lumba 200 kg ditemui mati di Pantai Puteri

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

PANTAI KUNDOR 11 Jun – Seekor ikan lumba-lumba  seberat 200 kilogram (kg) dan sepanjang 2.4 meter ditemui mati terdampar di gigi pantai Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, di sini hari ini.

Bangkai ikan yang sekeluarga dengan ikan paus itu dijumpai nelayan, Muhammad Saiful Safuan Mad Aris, 25, ketika bersiap-siap untuk menolak perahu turun menangkap ikan dengan tekong, Mohd Rahmad Khamis, 37, kira-kira jam 4 petang tadi.

Mohd Rahmad berkata, ketika turun ke pantai untuk menolak perahu, dia terkejut apabila Muhammad Saiful yang sudah tiba di pangkalan nelayan itu lebih awal memberitahu ikan lumba-lumba terdampar di gigi pantai.

MOHD RAHMAD meneliti bangkai ikan lumba-lumba seberat kira-kira 200 kilogram dan sepanjang 2.4 meter jauh dari gigi pantai di Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling.

“Kami terus mendapatkan ikan itu dan dapati ada sedikit kesan luka pada bawah perut dan kulit di sebelah kirinya sudah mengelupas sedikit, dipercayai akibat sudah lama mati sebelum hanyut ke pantai.

“Kami menarik ikan itu jauh dari gigi pantai bagi mengelakkan ia hanyut jauh ke tengah laut,” katanya ketika di sini hari ini.

Dia berkata, hasil penelitiannya dan rakannya, tiada kesan kecederaan lain ditemukan pada tubuh ikan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jaringan Nelayan Pantai Rombang, Azmi Leman berkata, selepas meneliti keadaan mamalia laut itu, dia percaya ikan berkenaan sudah mati antara dua atau tiga hari lalu.

Azmi Leman percaya ikan lumba-lumba yang dijumpai mati di pantai Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling sudah mati antara dua hingga tiga hari lalu.

Sehubungan itu, dia menghubungi pegawai Jabatan Perikanan dan berterima kasih kepada jabatan itu kerana berjanji menghantar kakitangan untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan lanjut.

Katanya, ikan berkenaan dikenali dalam kalangan nelayan sebagai ‘ikan songsong arus’, iaitu ikan dalam spesis keluarga ikan lumba-lumba ‘dolphin’ yang keluarga besarnya ialah ikan paus.

Dia berkata, musim angin ribut barat sekarang dipercayai menyebabkan ikan berkenaan berenang ke pinggir pantai berbanding habitat lazimnya di tengah laut.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Solehon yang dihubungi berkata, beliau sudah mengarahkan pegawai jabatan berkenaan ke lokasi kejadian dan mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada nelayan yang menjumpai ikan itu kerana menariknya jauh dari gigi pantai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1338
Kongsi :
Previous post PKP 3.0 dilanjut dua minggu lagi sehingga 28 Jun
Next post Tak boleh beli lebih tiga minyak masak peket!
Ubah saiz-+=