PKP 3.0 dilanjut dua minggu lagi sehingga 28 Jun

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KUALA LUMPUR 11 Jun – Kerajaan bersetuju Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara yang akan tamat pada Isnin ini dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 28 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perlanjutan itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentang dan mencadangkan dalam sidang itu, supaya PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh 2 minggu lagi.

“Sehubungan itu, PKP 3.0 disambung untuk tempoh dua minggu berkuat kuasa pada 15 hingga 28 Jun 2021.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian COVID-19 masih tinggi, melebihi 5,000 kes sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam sebanyak 6,871 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, senarai positif atau negatif dan prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana sebelum ini.

“…Senarai tersebut, boleh dirujuk kepada laman sesawang kementerian berkaitan dan maklumat lanjut boleh diakses di laman
sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah, berikutan KKM mendapati berlaku peningkatan kes positif kalangan penghuninya.

“Dalam tempoh seminggu, KKM mendapati berlaku peningkatan kes apabila sebanyak 18 kes positif dilaporkan hasil saringan ke atas 208 penghuni universiti itu.

“KKM juga mendapati, berlaku penularan kes dalam kalangan pelajar dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju
melaksanakan PKPD di Kampus UUM, Sintok berkuat kuasa 13 Jun sehingga 26 Jun 2021,” katanya.

Belia berkata, PKPD itu untuk menyekat pergerakan keluar masuk bagi memastikan tiada penyebaran jangkitan keluar ke kampus serta
memudahkan KKM membuat pemantauan ke atas pelajar sedang menjalani kuarantin.

PKPD katanya, turut dilaksanakan di beberapa lokaliti di Sabah iaitu Kampung Kadazan, Tawau; Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai di Kota Kinabalu serta di Taman Villa Felca Nambazan, Penampang bagi tempoh sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

462
Kongsi :
Previous post ‘Hasrat Daddy mahu saya ceburi bidang sains, saya akan tunaikan’
Next post Ikan lumba-lumba 200 kg ditemui mati di Pantai Puteri
Ubah saiz-+=