Atlet boling SUKMA Melaka raih 9A SPM
SEKITAR KEPUTUSAN SPM 2020
AYER KEROH 11 Jun – Tidak hanya cemerlang dalam sukan, seorang atlet tenpin boling Melaka membuktikan dia mampu berjaya dalam bidang akademik apabila meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
Mikha Manoharan, 18, menjadi antara pelajar kebangaan St Francis Institution Melaka apabila meraih 9A selepas menyemak keputusan rasmi secara dalam talian, semalam.
Anak kepada Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madelina Kuah Wey Lee itu berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran apabila negara dilanda pandemik COVID-19 dan terpaksa menghadapi peperiksaan besar dalam norma baharu, dia berjaya mengharungi semua itu dan memperoleh keputusan membanggakan.
Ditanya sama ada menghadapi kesukaran dalam membahagikan masa antara sukan dan akademik, Mikha berkata, ia tidaklah begitu sukar memandangkan segala-galanya diaturkan dalam jadual yang ditetapkannya.
Menurut Mikha, biasanya dia akan menjalani latihan tiga hari setiap minggu iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, manakala untuk tujuan ulang kaji, dia lebih selesa menghadiri kelas tuisyen berbanding mengulang kaji sendiri di rumah.
“Saya tidak mengamalkan konsep ulang kaji secara berlebihan kerana saya lebih selesa memahami setiap subjek berbanding menghafal seperti segelintir pelajar lain.
“Jika saya benar-benar tidak faham, saya akan bertanyakan rakan-rakan sekelas dan ia memang sangat membantu, selain ia juga dapat mengurangkan waktu yang diperlukan untuk mengulang kaji sesuatu pelajaran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, selain mempraktikkan cara sendiri, dia juga percaya berkat sokongan semua pihak termasuk keluarga dan guru-guru turut menjadi penyuntik semangat buatnya meraih kecemerlangan dalam SPM.
“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada guru-guru sekolah terutamanya guru Fizik saya, Phan Li Zhen yang sentiasa mengambil berat dan sering membantu saya di dalam pelajaran.
“Tidak dilupa kepada keluarga dan pasangan kembar saya Mikel yang sentiasa memberi sokongan dan galakan untuk saya sampai ke tahap ini,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang jurutera elektrik dalam industri automotif.
Sementara itu, ibunya, Madelina mengakui sangat berbangga di atas kejayaan anak kembarnya yang memperoleh keputusan membanggakan walaupun menyedari mereka berdepan cabaran besar sejak pandemik.
Katanya, sebagai ibu, dia akan menyokong apa jua keputusan masa depan anaknya dan pada masa sama mendoakan mereka berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.