Sorting by

×

‘Rumah banyak kenangan arwah suami’

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

KLEBANG 11 Jun – Seorang warga emas di Kampung Tengah di sini bersyukur masih ramai pihak prihatin akan nasibnya yang hidup sebatang kara.

Che Zainab Che Sulaiman, 72, atau lebih mesra disapa ‘mek’ yang berasal dari Tumpat, Kelantan telah menetap di kampung itu lebih 30 tahun bersama arwah suaminya.

Katanya meskipun menetap di negeri orang, namun dia tidak pernah sedikit berasa terpinggir.

CHE ZAINAB.

“Mek ada anak lelaki seorang duduk di Kuala Lumpur kerja kilang di sana jadi memang tak dapat jumpa dia dah lama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bila suami meninggal memang duduk sini seorang ditambah pula abang kandung yang bawa mek ke sini pun dah meninggal dunia.

“Tapi alhamdulillah jiran-jiran di sini semuanya baik, selalu bagi makanan, beras dan minyak masak, kalau bulan puasa kadang tu bagi nasi dengan gulai,” katanya dengan nada gembira.

Ditanya mengapa masih menetap di rumah itu, Che Zainab menjelaskan banyak kenangan dia bersama arwah suami sejak tinggal di kampung itu.

KEADAAN rumah Che Zainab yang usang.

“Walaupun rumah ni banyak bocor bila hujan lebat sampai terpaksa tadah dengan besen, tapi takpe sebab ni kenangan yang ada bersama arwah suami.

“Kalau duduk seorang diri, rindukan arwah suami mek akan baca surah Yasin dan doakan kesejahteraan dia.

“Tapi mek syukur sangat tiada penyakit seperti kencing manis, darah tinggi semua, ini tanda Allah sayang,” katanya.

Terdahulu dia menerima kunjungan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian.

Mohd Rafiq berkata, pihaknya dalam usaha untuk membaik pulih kerosakan rumah itu secara minimum mengikut kehendak pemilik asal tanah tersebut.

“Mak Cik Zainab menyewa tanah dengan bayaran RM40 setahun sejak 30 tahun lalu.

“Pemilik tanah tidak benarkan proses ‘renovation’ yang besar di atas tanah mereka, tetapi sekadar untuk membetulkan kebocoran pembaikan yang minimum dibenarkan.

“Insya-Allah kita akan baik pulih segera selepas PKP penuh ini, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pun dah panjangkan usaha untuk bantu mak cik ini,” katanya.

Katanya Che Zainab bagaimanapun menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

“Dia mendapat bantuan JKM sebelum ini RM350 tetapi alhamdulillah selepas kenaikan diumumkan Perdana Menteri maka dia dapat RM500 sebulan.

“Saya mohon MAIM dapat membantu untuk bantuan makanan atau wang ringgit secara bulanan,” katanya.

Menurut Mohd Rafiq, pihaknya akan memperuntukkan kira-kira RM3,000 bagi kos membaik pulih kerosakan rumah itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

487
Kongsi :
Previous post JAIS batal peperiksaan PSRA OGOS ini
Next post SAM gesa kerajaan Pahang hentikan aktiviti perlombongan di Tasik Chini
Ubah saiz-+=