Gerai bubur ayam jadi saksi keputusan SPM 2020

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

SEKITAR KEPUTUSAN SPM 2020

TELOK MAS 10 Jun – Dalam kesibukan berniaga bubur nasi dan ayam goreng di Pekan Telok Mas,di sini, seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sempat mencuri peluang memeriksa keputusan SPM yang diumumkan hari ini.

Nasrullah Nazri, 18, berkata, dia hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk masuk dan memperoleh keputusan tersebut yang disifatkan lebih mudah, pantas dan efisien.

Jelas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas itu, walaupun awalnya dia sedikit gugup untuk memeriksa keputusan SPM yang diraihnya, namun menguatkan semangat untuk menghadapi realiti dan akhirnya lega apabila lulus dalam kesemua sembilan subjek yang diambil.

NASRULLAH menunjukkan laman sesawang untuk memeriksa keputusan SPM 2020 menerusi telefon pintarnya.

“Tahun lalu bermacam dugaan menimpa. Antaranya saya mengalami patah kaki akibat kemalangan motosikal sehingga menyebabkan saya tidak dapat ke sekolah selama enam bulan dan ketinggalan dalam pelajaran.

“Selepas itu COVID-19 pula melanda yang menyaksikan sekolah terpaksa ditutup dan kami perlu menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian yang agak mencabar kerana kekangan internet dan sebagainya.

“Itulah sebabnya saya gugup tetapi apapun, saya lega kerana segala cabaran itu berjaya saya tempuhi dan berjaya lulus kesemua subjek yang diambil,” katanya.

Ditanya apa rahsia berjaya bangkit daripada ketinggalan dalam pelajaran selepas mengalami kemalangan, Nasrullah berkata, dia terpaksa membuang rasa malu dalam diri dan mengambil inisiatif sendiri mencari guru yang rapat dengannya untuk mempelajari subjek-subjek tertentu.

Bertitik-tolak daripada itu, dia berjaya bangkit untuk memperoleh keputusan yang secara peribadi dianggapnya lebih daripada yang disasarkan.

“Saya sedar saya bukanlah tergolong dalam kalangan mereka yang bijak pandai. Sebab itulah saya mengambil inisiatif sendiri dan berusaha perbaiki diri sendiri.

“Jadi, nasihat saya kepada semua pelajar yang bakal mengambil SPM nanti, walaupun anda tidak berapa pandai, janganlah malu untuk mengubah diri anda dan jangan sesekali cepat putus asa,” ujarnya yang berhasrat untuk melebarkan sayap dalam bidang perniagaan.

MUHAMMAD Amer sempat memeriksa keputusan sebelum memulakan kerja sebagai penunggang e-hailing.

Sementara itu, bagi seorang penunggang e-hailing, Muhammad Ameer Ashraf Azman, 18, yang juga merupakan rakan baik Nasrullah, dia turut memanjatkan kesyukuran apabila berjaya mendapat keputusan A dalam subjek Pendidikan Seni Visual yang merupakan subjek kegemarannya.

Malah, dia juga seakan tidak percaya apabila berjaya lulus dalam subjek Matematik dan Bahasa Inggeris yang dianggapnya cukup sukar pada peperiksaan lalu.

“Memang gembira sangatlah sebab saya pun tidak jangka boleh dapat keputusan yang lebih daripada jangkaan seperti ini.

“Dengan bermacam-macam cabaran yang dihadapi, saya memang sangat bersyukur kerana akhirnya saya berjaya lulus dalam semua subjek.

“Apapun, ucapan terima kasih perlu saya berikan kepada guru-guru yang banyak membantu saya dari awal sehinggalah tamat SPM. Jasa mereka semua akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

520
Kongsi :
Previous post Beberapa lagi pemimpin parti politik menghadap agong hari ini
Next post Tawar pakej haji 2021 ketika wabak COVID-19 mungkin penipuan- Bukit Aman
Ubah saiz-+=