Zambry Abdul Kadir Setiausaha Agung BN Baharu
KUALA LUMPUR 8 Jun – Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) sebulat suara bersetuju melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu.
Pelantikan bekas Menteri Besar Perak itu dimaklumkan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Tertinggi BN, secara maya malam ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, mesyuarat itu juga sebulat suara bersetuju melantik Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN negeri itu yang baharu.
Beliau berkata, Dewan Tertinggi BN turut memutuskan untuk menambah kekuatan jentera parti daripada negeri-negeri, bagi usaha membantu pendaftaran vaksin khususnya dalam kalangan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan penduduk di kawasan pedalaman.
“Dewan Tertinggi juga menyeru semua pihak, agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi pengawalan penularan COVID-19 yang sangat membimbangkan pada ketika ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata pada mesyuarat agung tahunan BN itu, Laporan Tahunan dan Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 turut dibentangkan.
Mesyuarat agung itu dihadiri kesemua empat parti komponen BN iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dilantik sebagai Setiausaha Agung BN pada 5 Jan lalu dalam catatan di Twitternya berkata, beliau telah menarik diri daripada jawatan tersebut pada hujung Februari lalu dan dipersetujui Ahmad Zahid.
“Jawatan Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung bersama Muafakat Nasional (MN) (yang disandangnya kini) sudah cukup banyak tanggungjawab,” kata Ahmad.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.