JKN nafi pekerja kilang elektronik Batu Berendam pakai gelang pink dibenar bekerja

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

BATU BERENDAM 8 Jun – Kerajaan negeri menafikan dakwaan bahawa sebuah kilang elektronik di sini mengarahkan pekerjanya bekerja seperti biasa meskipun menjalani kuarantin dan dipakaikan gelang merah jambu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) tidak akan memberikan kelulusan pengoperasian semula kilang terbabit sekiranya dakwaan itu benar.

Katanya, kilang itu dibenarkan beroperasi selepas semua kakitangannya disahkan bebas daripada COVID-19.

RAHMAD selepas melawat sebuah kilang elektronik di Kawasan Perdagangan Bebas Batu Berendam.

“Setelah kakitangan terbabit disahkan negatif, baru buka (potong) gelang dan kemudian dibenarkan bekerja.

“Bukannya bekerja dengan pakai gelang…itu menyalahi protokol Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), memang kita tidak benarkan,” katanya selepas melawat kilang berkenaan di Kawasan Perdagangan Bebas Batu Berendam, di sini hari ini.

Sebelum ini, kilang berkenaan diarahkan tutup serta-merta selama tujuh hari selepas 398 kakitangan serta ahli keluarga mereka disahkan positif COVID-19 dan diisytiharkan sebagai Kluster Industri Batu Berendam.

Bagaimanapun, kilang itu menjadi isu tular di media sosial yang mendakwa pengurusannya tidak mematuhi arahan penutupan selain meminta kakitangannya bekerja seperti biasa meskipun dipakaikan gelang merah jambu dengan alasan telah mendapat kebenaran KKM.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, kebenaran untuk membuka semula operasi kilang itu diberikan selepas JKN berpuas hati dengan tindakan diambil pengurusan kilang terbabit dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, pembukaan semula operasi kilang berkenaan adalah bersyarat dan perkara itu diputuskan berdasarkan penilaian yang dibuat oleh KKM yang mana kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja tidak membabitkan sembilan blok kilang terbabit.

“Lebih kurang 1,400 saringan dibuat pada 4 Jun lalu melibatkan blok 7,8 dan 9 dan ia dipanggil saringan bersasar yang mana saringan RTK-Antigen itu dibiayai sepenuhnya kilang terbabit demi memastikan pekerjanya bebas COVID-19.

“JKN tidak melakukan saringan PCR-RTK kepada semua pekerja sebaliknya hanya melakukan saringan kepada kontak rapat, jadi daripada 1,400 ini kontak rapat kes sekitar 25 hingga 27 orang sahaja, maka pembukaan kilang itu dibuat selepas penilaian dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Kilang juga bersetuju untuk melaksanakan operasi dengan kapasiti kira-kira 1,500 sehari iaitu kira-kira 40 peratus, lebih rendah daripada saranan kerajaan iaitu 60 peratus dibenarkan bekerja,” katanya.

Menurut Rahmad, kilang berkenaan juga mengambil inisiatif untuk melaksanakan saringan bagi ketiga-tiga shif pada setiap hari kepada semua pekerja bagi mengawal penularan pandemik itu.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi untuk menutup semula operasi kilang terbabit sekiranya wujud jangkitan baharu melebih lima peratus daripada kakitangan kilang terbabit.

Untuk rekod, kilang berkenaan mempunyai lebih 9,000 pekerja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

761
Kongsi :
Previous post MOM nafi disekat sertai Olimpik, dapatkan penjelasan Tokyo, IOC
Next post Warga emas 101 tahun antara korban COVID-19 di Melaka
Ubah saiz-+=