Sorting by

×

Diskaun 50 peratus bayaran sewa tanah, bangunan Persekutuan dilanjutkan sehingga Disember

Masa Membaca:56 Saat

PUTRAJAYA 8 Jun – Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan inisiatif pemberian diskaun 50 peratus bayaran sewa kepada penyewa tanah Persekutuan dan bangunan Persekutuan untuk tempoh enam bulan lagi, mulai 1 Julai hingga 31 Disember depan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan sebelum ini mengumumkan pelanjutan diskaun itu sehingga hujung bulan ini.

“Inisiatif kepada golongan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di samping memberi ruang untuk penyusunan semula aliran tunai bagi mengekalkan perniagaan mereka di atas tanah atau ruang bangunan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagi kelangsungan Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) pula, Shamsul Anuar berkata kerajaan meluluskan penyaluran dana segera berjumlah RM179,426 sebagai peruntukan awal Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kepada 10 premis ZPT yang terjejas teruk.

“Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kali ini adalah berdasarkan permohonan bagi keperluan segera oleh 10 premis ZPT berkenaan,” katanya.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM3.9 juta manakala Tenaga Nasional Bhd menyalurkan RM500,000 secara berperingkat kepada 25 ZPT.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

332
Kongsi :
Previous post Laporan kemalangan LRT dibentang ke Kabinet esok
Next post Sultan Selangor zahir kekecewaan terhadap golongan antivaksin
Ubah saiz-+=