KSN tinjau operasi SJR
PUTRAJAYA 7 Jun – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini meninjau operasi sekatan jalan raya (SJR), yang dilaksanakan secara bersama oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di beberapa lokasi.
Disertai Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohd Rabin Basir, tinjauan SJR itu melibatkan SJR Putrajaya di Persiaran Utara, Lebuhraya Persekutuan, Tol Sungai Besi, Plaza Tol Putrajaya, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak LPT.
Dalam hantaran di laman Facebook miliknya, Mohd Zuki berkata beliau meluangkan masa hampir 20 minit di setiap lokasi SJR yang dilawati, bagi melihat sendiri pengoperasian SJR serta mengedarkan bakul makanan kepada petugas PDRM dan ATM.
“Secara keseluruhan, saya melihat operasi SJR ini berjalan dengan lancar, dengan penguatkuasaan SOP (prosedur operasi standard) yang jelas,” katanya.
Menurut catatan Mohd Zuki, beliau berkesempatan bertanyakan pengguna jalan raya yang melalui SJR mengenai tujuan mereka keluar hari ini.
“Rata-rata yang keluar adalah ketua keluarga untuk membeli barang keperluan harian. Ini menunjukkan kepatuhan dalam kalangan rakyat meningkat, dalam usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19,” katanya.
Menurut orang nombor satu dalam perkhidmatan awam itu, hampir 70,000 penjawat awam terlibat dalam penugasan melibatkan 930 SJR dan Op BENTENG.
Mohd Zuki dalam catatannya itu, merakamkan penghargaan atas segala kudrat dan tenaga yang diberikan oleh setiap penjawat awam, terutamanya barisan hadapan yang sentiasa bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab tanpa gagal.
“Komitmen yang diberikan oleh penjawat awam terutamanya barisan hadapan sememangnya sangat menyentuh jiwa saya. Tiada erti rehat dan tidur juga tidak menentu ekoran operasi pemantauan bermula seawal dinihari, dan masa balik ke rumah juga tidak tentu masa selain bekerja tujuh hari seminggu.
“Mereka juga terdedah dengan risiko COVID-19, demi memastikan rakyat patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.