Kedai Prihatin Rakyat ‘Drive-Thru’ DUN Paya Rumput manfaatkan 2,000 rakyat
BUKIT RAMBAI 7 Jun – Perikatan Nasional (PN) negeri memperuntukkan RM50,000 bagi menyalurkan sumbangan kepada 2,000 golongan yang terkesan akibat larangan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohidden berkata, inisiatif itu disalurkan menerusi Kedai Prihatin Rakyat Drive-Thru DUN Paya Rumput bermula hari ini.
“Pada awalnya kita sediakan 1,000 ekor ayam dan 1,000 papan telur, namun jumlah itu tidak mencukupi dan kita tambah lagi menjadikan seramai 2,000 rakyat yang menerima.
“Kita buka kedai ini bermula jam 12 tengah hari sehingga 5 petang bagi memastikan kehadiran rakyat itu tidak bersesak-sesak jika waktu terlalu pendek.
“Barang-barang yang dibeli oleh kita ini adalah daripada penjaja kecil kita sendiri supaya dapat membantu mereka yang tidak dapat menjual barangan semasa penularan wabak COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan barangan keperluan Kedai Prihatin Rakyat Drive-Thru Dun Paya Rumput di Taman Rambai Jaya di sini, hari ini.
Jelasnya, masyarakat diminta hadir dengan menggunakan kenderaan seperti motosikal dan kereta bagi memastikan kesemuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Kita buka dalam satu sesi sekali 10 gerai supaya mereka (penerima) tidak perlu tunggu terlalu lama untuk mendapatkan ayam dan telur.
“Ini bukan program tetapi inisiatif Perikatan Nasional (PN) Melaka dan DUN Paya Rumput untuk membantu rakyat yang terkesan khususnya golongan B40,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.