Sorting by

×

Tangguh program tidak berkaitan PdPR bagi kurangkan beban guru- NUTP

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR 7 Jun – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan beberapa program buat sementara waktu bagi membolehkan guru memberi tumpuan penuh kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata, sekiranya program berkenaan diteruskan, ia hanya akan menambah beban dan mengganggu tumpuan guru semasa pelaksanaan PdPR.

Beliau berkata antara program yang perlu ditangguhkan itu ialah Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25); pelaksanaan kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Dialog Prestasi; Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).

“NUTP mengalu-alukan pelaksanaan program yang telah disusun atur, namun NUTP berpandangan fokus utama pendidikan ketika negara sedang bertungkus-lumus membendung penularan COVID-19 ini adalah dengan memperkukuh lagi pelaksanaan PdPR dengan membuat perancangan yang lebih berstruktur dan tersusun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan berkata PdP secara bersemuka ketika ini kerap tergendala sehingga murid terpaksa belajar dari rumah.

Justeru, beliau berkata kejayaan pelaksanaan PdPR adalah amat penting supaya tiada murid tercicir dan ketinggalan dalam pendidikan terutamanya murid di kawasan pedalaman dan daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Para pendidik perlu memberi tumpuan penuh kepada PdPR kerana murid dilihat masih belum mendapat pendidikan sempurna sejak dua tahun kebelakangan ini akibat COVID-19,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menyatakan sesi pembelajaran selepas cuti pertengahan tahun ini diteruskan dengan kaedah PdPR selama 25 hari mengikut kumpulan negeri masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

569
Kongsi :
Previous post Sindiket judi ‘online’ digempur
Next post MEDAC tawar kemudahan moratorium KPP 3.0
Ubah saiz-+=