Sorting by

×

Perkampungan haram warga asing di Cyberjaya diserbu

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

CYBERJAYA 7 Jun – Seramai 156 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu di sebuah ‘perkampungan’ rumah kongsi dilengkapi elektrik dan air yang dicuri di kawasan tanah terbiar di Cyberjaya, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata dalam serbuan selama tiga jam bermula kira-kira 11 malam itu, seramai 202 warga asing diperiksa termasuk 12 wanita berusia lingkungan 23 hingga 50 tahun dan dua kanak-kanak berusia bawah empat tahun yang terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Pakistan, Bangladesh, Pakistan dan India.

KHAIRUL DZAIMEE pada sidang media selepas operasi. Foto FB- JIM.

Beliau berkata mereka yang ditahan kerana kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dibawa ke pusat saringan Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Katanya serbuan ke atas penempatan haram yang turut mempunyai kedai kopi dan gunting rambut itu dijalankan dengan kerjasama pasukan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Tenaga Kerja, hasil risikan selama tiga bulan.

“Penempatan ini berpotensi menjadi punca penularan COVID-19 kerana tiada pematuhan prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti penjarakan fizikal dan melakukan aktiviti berkumpulan,” katanya dalam sidang media selepas selepas operasi berkenaan di sini, hari ini.

PEGAWAI imigresen membuat penandaan terhadap warga asing yang ditahan. Foto FB JIM.

Dalam perkembangan lain, Dzaimee menafikan dakwaan bahawa pihaknya hanya mengambil tindakan terhadap pendatang tanpa izin, namun tidak menahan atau mendakwa majikan di mahkamah.

“Dakwaan ini tidak benar kerana pada 2019, sebanyak 1,059 majikan yang telah kita hadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dengan jumlah denda RM19.3 juta,” katanya.

Beliau berkata pada tahun lalu, 130 majikan dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan dengan jumlah denda bernilai lebih RM10 juta.

WARGA asing yang ditahan di bawa ke pusat saringan di Depot Imigresen Semenyih. Foto FB JIM.

Sementara pada tahun ini, setakat bulan lalu, Dzaimee berkata 130 majikan didakwa dengan denda dikenakan berjumlah RM3.2 juta.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

563
Kongsi :
Previous post Vaksin calon, guru untuk sesi pembelajaran bersemuka
Next post Sindiket judi ‘online’ digempur
Ubah saiz-+=