Sorting by

×

Melaka tambah lagi lapan PPV

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BUKIT KATIL 5 Jun – Sebanyak lapan lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan ditambah dalam masa terdekat dalam usaha melancarkan serta mempercepatkan perjalanan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, penambahan itu adalah langkah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengatasi kesesakan di PPV sedia selain memendekkan masa pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, penambahan PPV itu juga menjadikan jumlah keseluruhan PPV yang akan dibuka adalah sebanyak 16 pusat.

“Penambahan PPV antaranya termasuk tiga di bangunan JAPERUN (Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri); Dewan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Bukit Beruang; Dewan Universiti Multimedia (MMU) dan Dewan Universiti Teknologi Mara (UiTM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam membuat kunjungan di PPV Dewan Tun Ali sempena ulang tahun pertama perlantikannya sebagai Yang di-Pertua Negeri Ke- 7.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata JKN turut bersetuju untuk mewujudkan PPV secara pandu lalu bagi mempercepatkan program vaksinasi berkenaan.

Namun katanya, perkara itu masih dalam proses akhir perbincangan dan ia dijangka mula dilaksanakan minggu hadapan.

“Program vaksinasi secara pandu lalu kita rancang untuk memulakannya di Dewan Tun Ali berikutan kawasannya yang luas dan mampu memudahkan orang ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Bagaimanapun, suntikan secara pandu lalu hanya diberikan kepada penerima vaksin suntikan dos kedua kerana mereka telah mendapat penilaian serta risiko kesihatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta proses vaksinasi rakyat dipercepatkan dengan menambah PPV di seluruh negara bagi bagi memastikan sasaran imuniti kelompok tercapai.

Dalam pada itu, Rahmad turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi waktu temu janji ditetapkan bagi mengelakkan berlaku kesesakan serta kelewatan penerimaan vaksin pada masa akan datang.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

548
Kongsi :
Previous post Lebih 300 lagi PPV akan dibuka – Muhyiddin
Next post Varian Afrika Selatan di Melaka dari kluster pusat hiburan
Ubah saiz-+=