Kastam Johor sita enam kenderaan import mahu elak cukai berjumlah RM1.23 juta
JOHOR BAHRU 4 Jun – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menyita enam kenderaan import tanpa cukai bernilai RM1.23 juta, hasil tiga serbuan berasingan di bandar raya ini dan Kulai pada 25 Mei hingga 31 Mei lalu.
Pengarahnya Sazali Mohamad berkata, dalam ketiga-tiga serbuan itu, dua lelaki tempatan berusia 23 dan 42 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 75 (b) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 138 Akta Kastam 1967.
Katanya, dalam serbuan pertama di sebuah premis perniagaan di Jalan Kebun Teh di sini pada jam 3 petang, 25 Mei, pihaknya menemukan tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) import terpakai dengan anggaran nilai RM644,930 termasuk duti dan cukai.
“Premis ini dijadikan tempat menyimpan kenderaan import terpakai, dipercayai tanpa kelulusan kastam.
“Modus operandi mereka adalah dengan memindahkan kenderaan import yang masih belum dibayar cukai ke premis berkenaan untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, serbuan kedua dan ketiga pula masing-masing dilakukan di sebuah premis perniagaan di Lebuhraya Pasir Gudang pada jam 1.30 tengah hari, 27 Mei dan tepi jalan sebuah kawasan perumahan di Taman Indahpura, Kulai pada 5.30 petang, 31 Mei.
Katanya, menerusi serbuan ini, tiga lagi kenderaan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM586,300 termasuk duti dan cukai disita.
Dalam kes lain, Sazali memberitahu lima lelaki tempatan berusia antara 29 sehingga 43 tahun turut ditahan kerana cuba menyeludup ‘steel scrap’ bernilai RM292,096 di Kompleks Sultan Abu Bakar Gelang Patah, Iskandar Puteri pada 31 Mei.
“Penahanan ini susulan pemeriksaan ke atas empat lori yang membawa muatan dagangan berlainan daripada ikrar muatan dagangan asal iaitu ‘aluminium flakes’.
“Kesemua kini disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.