Sorting by

×

PKP penuh: ‘Promosi ‘Kaw Kaw’ bantu kilang kekal operasi

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 4 Jun – Pendekatan menggunakan kaedah promosi besar-besaran antara strategi utama bagi memastikan produk industri makanan berjaya dipasarkan seluruh negara.

Ketua Pegawai Operasi Mamee-Double Decker (M) Berhad, Datuk Gary Choo Kok Sen berkata, biarpun industri itu dibenar operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pihaknya terpaksa melaksanakan kaedah terbabit supaya tidak mengganggu keuntungan yang diterima.

Jelasnya, pihaknya menjalankan kempen ‘Promosi Kaw Kaw’ bagi setiap produknya untuk dipasarkan ke setiap pasar raya dan kedai-kedai terpilih di negara ini.

Ujarnya, semasa PKP penuh keuntungan syarikatnya juga mengalami sedikit penurunan berbeza dengan PKP 1.0 yang mana telah memperoleh keuntungan sehingga lima kali ganda ketika itu.

KETUA Pegawai Operasi Mamee-Double Decker (M) Berhad, Datuk Gary Choo Kok Sen.

“Bagaimanapun dalam tempoh ini kami tidak mengalami kesukaran bagi mendapatkan barangan mentah dari dalam negeri berbeza seperti PKP 1.0 menyebabkan kami terpaksa mengambil bekalan dari negara lain seperti China dan India.

“Keadaan kali ini juga sedikit berbeza kerana setakat ini kita lebih menggunakan operasi mesin berbanding sebelum ini, disebabkan kurangnya tenaga buruh luar yang sebelum ini bekerja dan telah mengalami pengurangan kira-kira 10 peratus tenaga yang diperlukan.

“Selain itu, pekerja yang kekal kita terpaksa memastikan mereka mampu bekerja dengan ‘multitasking’ dengan membayar gaji berganda kepada mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, ujarnya, beberapa pendekatan lain turut dilakukan pihaknya bagi memastikan perjalanan operasi selamat daripada penularan COVID-19.

“Dalam tempoh ini semua kakitangan pejabat telah diarah Bekerja Dari Rumah (BDR) dan hanya separuh tenaga kerja diperlukan ketika ini kerana menjalankan operasi pengilangan dengan menggunakan mesin.

“Malah, setiap ruangan yang ada telah dijalankan kerja-kerja sanitasi berkala bagi memastikan kawasan perkilangan selamat dan terhindar dari wabak itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3044
Kongsi :
Previous post PKPD Kampung Lubok Redan tamat esok
Next post Kastam Johor sita enam kenderaan import mahu elak cukai berjumlah RM1.23 juta
Ubah saiz-+=