Sorting by

×

Perlindungan keselamatan sosial diperluas kepada pekerja domestik berkuat kuasa 1 Jun

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

KUALA LUMPUR 4 Jun – Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja domestik, berkuat kuasa 1 Jun.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, perluasan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) itu, membolehkan pekerja domestik yang sebelum ini tidak diliputi perlindungan keselamatan sosial, kini menerima perlindungan sama seperti pekerja dalam sektor lain.

Menurutnya, pekerja domestik ialah individu yang diambil bekerja bagi menguruskan kerja berkaitan bagi sesebuah rumah kediaman persendirian dan secara amnya pekerjaan itu dianggap sebagai profesion yang sering terdedah kepada musibah, disebabkan keadaan pekerjaan berkenaan termasuk waktu kerja yang panjang, perlindungan keselamatan sosial tidak mencukupi dan skop kerja luas.

Menurutnya seramai 104,400 pekerja domestik membabitkan 15,000 pekerja berstatus warganegara dan pemastautin tetap, serta 89,400 pekerja warga asing dijangka menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.

“Peranan pekerja domestik kepada isi rumah dilihat semakin penting, apabila institusi pendidikan seperti sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak, diarahkan tutup sementara sebagai pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Jelas Mohammed Azman, selain terdedah kepada risiko lebih tinggi seperti jangkitan penyakit apabila menjaga golongan berisiko seperti orang tua dan pesakit, pelaksanaan PKP yang mengehadkan pergerakan keluar orang ramai dari rumah masing-masing, menambahkan bebanan kerja pekerja domestik.

Katanya pekerja domestik berstatus warganegara, pemastautin tetap dan pemastautin sementara, akan dilindungi menerusi Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta 4 serta Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Akta 800, sementara pekerja domestik warga asing dilindungi melalui Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta 4 sahaja.

“Kadar caruman perlu dibayar oleh majikan dan pekerja domestik pula, bergantung kepada gaji bulanan seseorang pekerja domestik. Ia dibayar mengikut kadar ditetapkan dalam Jadual Ketiga, Akta 4 dan Jadual Kedua, Akta 800,” katanya.

Mohammed Azman berkata, pendaftaran majikan dan pekerja bagi perlindungan itu boleh dibuat mulai 16 Jun melalui portal ASSIST https://assist.perkeso.gov.my, dengan perlindungan bermula 1 Jun.

Menurutnya, antara contoh pekerja domestik adalah pembantu rumah, pemandu atau pengawal peribadi, tukang kebun, pengawal keselamatan rumah kediaman, tukang masak, pengasuh bayi atau kanak-kanak, penjaga orang tua atau pesakit, pelayan, atau orang diambil bekerja berkaitan rumah kediaman persendirian.

“Saya ingin tekankan pendaftaran (mencarum) pekerja domestik adalah wajib seperti di bawah Akta 4 dan Akta 800.

“Jika gagal, mereka juga tertakluk di bawah Akta sedia ada dan boleh dibawa untuk tindakan pendakwaan dan jika didapati bersalah, mereka boleh sama ada dipenjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

691
Kongsi :
Previous post Konon terbabit jenayah jual vaksin, wang simpanan pesara RM60,000 lesap
Next post Ingkar PKPD: Tiga lelaki sanggup terjun dari tingkat 3, elak ditahan
Ubah saiz-+=