Sorting by

×

PEMERKASA Tambahan: ATM bina enam hospital medan- Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR 3 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membina enam lagi Hospital Medan bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 yang kian meningkat, demikian menurut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pembinaan berkenaan adalah selaras dengan pengumuman kerajaan yang memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan), 31 Mei lalu.

MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto fail.

“Peruntukan berkenaan akan digunakan untuk menambahkan tenaga kerja seperti doktor, paramedik, peralatan kesihatan dan lain-lain lagi. Makanya, kita akan ada lapan buah Hospital Medan (termasuk dua yang diumumkan sebelum ini) dengan peruntukan baharu ini.

“Apa yang dilakukan pihak ATM ini bukan sahaja boleh membantu kerajaan menangani isu COVID-19 malah isu berkaitan (pemberian) vaksin,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program pelancaran pembinaan Hospital Modular COVID-19 ATM di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini hari ini.

Menerusi peruntukan RM1 bilion itu, RM450 juta diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan COVID-19, bukan sahaja di hospital seliaan Kementerian Kesihatan tetapi juga Hospital pengajar Universiti Awam seperti UiTM, UPM dan UKM serta melalui Hospital Medan ATM seperti di Sabah dan Sarawak.

Sebanyak RM550 juta lagi diperuntukkan untuk menampung pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis kesihatan COVID-19 termasuk ubat, reagen untuk saringan serta lantikan pegawai secara kontrak.

Pada 23 Mei lalu, Ismail Sabri dilapor berkata ATM akan membina dua lagi Hospital Medan bagi merawat pesakit COVID-19 dan setakat ini, sebanyak tiga Hospital Medan telahpun beroperasi iaitu di Tawau, Sabah; Kapit, Sarawak dan Kepala Batas, Pulau Pinang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

728
Kongsi :
Previous post MAIM bangunkan aplikasi Jejak Asnaf, mudahkan agihan kebajikan rakyat
Next post 662 pesakit sedang menerima rawatan di PKRC MITC
Ubah saiz-+=