Sorting by

×

MAIM bangunkan aplikasi Jejak Asnaf, mudahkan agihan kebajikan rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Kerajaan Melaka menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengambil inisiatif membangunkan aplikasi ‘Jejak Asnaf’ bertujuan memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat individu yang memerlukan bantuan kebajikan di bawah saluran dana zakat Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, dengan adanya aplikasi itu, proses kerja penyaluran kebajikan akan menjadi lebih efisien, ditambah pula penglibatan langsung rakyat dari segi penyaluran maklumat.

“Dengan menggunakan aplikasi ini, proses kerja yang lebih efisien dapat dilaksanakan iaitu penyampaian maklumat berkaitan kebajikan rakyat akan disampaikan terus kepada
agensi berkaitan melalui penglibatan langsung rakyat agar dapat mengurangkan keciciran golongan yang memerlukan bantuan.

“Lima fungsi di dalam aplikasi ini termasuklah pendaftaran pengguna; semakan asnaf; pengisian maklumat asnaf; semakan status maklumat/aduan serta infografik berkaitan aduan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri hari ini.

Dalam pada itu ujarnya, menerusi pelaksanaan terbabit ia sekali gus mampu mengurangkan beberapa kes viral yang dibuat tanpa menyemak status individu berlaku selain sebagai saluran kemudahan bagi penyampaian maklumat berkaitan individu susah.

Menurutnya, ia turut mewujudkan saluran kemudahan kepada rakyat yang prihatin terhadap kesusahan asnaf dan mampu meningkatkan cara kerja lebih efisien dan sistematik serta boleh digunakan oleh sesiapa sahaja dan di mana sahaja.

“Malah, individu yang memerlukan bantuan juga boleh membuat permohonan untuk diri sendiri melalui Aplikasi Jejak Asnaf MAIM dengan menyertakan maklumat asas, aduan ringkas, kategori bantuan diperlukan dan maklumat gambar asnaf, sebelum rekod aduan akan disiasat oleh petugas MAIM untuk diproses.

“Aplikasi Jejak Asnaf MAIM ini boleh dimuat turun di platform Play Store (Android) dan bakal menyusul di Apple Store (iPhone),” katanya.

Katanya, antara proses yang terlibat dalam aplikasi ini adalah pendaftaran maklumat pengguna aplikasi Jejak Asnaf MAIM; semakan nama asnaf berdaftar dengan MAIM atau tidak; menghantar maklumat asnaf yang memerlukan bantuan dan menyemak status maklumat yang telah dihantar sama ada telah diproses, berjaya atau gagal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post PKRC buat warga asing wajar – Mohd Redzuan
Next post PEMERKASA Tambahan: ATM bina enam hospital medan- Ismail Sabri
Ubah saiz-+=