Rugi RM223,220 terpedaya jualan Honda Civic terpakai RM17,800
MELAKA 1 Jun – Akibat teruja untuk membeli kereta terpakai jenis Honda Civic 1.5 dari Singapura dengan harga murah, seorang juruteknik kerugian RM223,220 selepas dipercayai diperdaya sindiket penjualan kenderaan secara dalam talian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt E.Sundra Rajan berkata lelaki berusia 48 tahun itu telah melayari laman Facebook pada 29 Mac lepas sebelum tertarik dengan iklan berkenaan penjualan kereta tersebut dengan harga RM17,800.
“Mangsa telah berhubung dengan suspek iaitu seorang wanita dan bersetuju untuk membeli kereta keluaran tahun 2016 itu. Mangsa kemudian diminta membuat bayaran atas pelbagai alasan seperti pembayaran permit import (AP), kastam dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sundra Rajan berkata mangsa tanpa berasa curiga telah membuat 59 transaksi pindahan wang berjumlah RM223,220 dari 13 April hingga 19 Mei lepas secara dalam talian ke 15 akaun bank berbeza yang diberikan suspek.
Beliau berkata mangsa menyedari diperdaya kerana masih belum menerima kenderaan yang dibeli sehingga kini dan bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Kandang, semalam.
Menurutnya kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan mangsa turut memaklumkan dia membuat pembayaran itu dengan menggunakan wang simpanan diri sendiri selain meminjam daripada ahli keluarga serta beberapa rakan.
“Hasil semakan polis menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule ke atas satu daripada nombor akaun yang digunakan oleh suspek turut menemukan sembilan laporan polis yang menggunakan modus operandi sama,” katanya.
Justeru, Sundra Rajan menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran penjualan kenderaan secara dalam talian.
Orang ramai boleh menyemak nombor telefon atau nombor akaun meragukan menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau muat turun aplikasi Check Scammers CCID di Google Playstore untuk mengelak ditipu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.