Sorting by

×

Tak sangka bakal terima lagi BPR RM500

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Jun – “Pada awalnya ketika pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam ingatkan hanya pengumuman biasa saja rupanya ada juga pelbagai bantuan diumumkan bagi membantu rakyat terjejas di negara ini, ” kata Mohd Iskandar Azman, 27.

Dia adalah antara golongan terjejas yang bakal menerima RM500 di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) di negeri ini.

Menurutnya, dia bersyukur disebabkan pelbagai bantuan diumumkan akan dimanfaatkan semua rakyat yang terjejas akibat kegawatan ekonomi melanda akibat penularan pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah, bila dengar ada pelbagai bantuan yang diterima ini diharapkan dapat diluluskan sewajarnya kerana saya pun dicutikan dahulu dan terpaksa menunggu keputusan syarikat untuk dibenar bekerja atau pun tidak.

“Isteri pula sudah dicutikan akibat PKP Penuh malah di rumah pula ada keluarga dan adik beradik yang perlu dijaga dan ini sekali gus membantu saya meringankan bebanan yang ditanggung.

“Apabila diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat kita terpaksa akur dengan penguatkuasaan ketat dan perlu duduk di rumah sahajalah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rentetan daripada pengumuman itu, selain daripada golongan berkeluarga Melaka Hari Ini juga sempat melakukan tinjauan kepada individu bujang yang bakal menerima bantuan RM100 daripada inisiatif itu.

MUHAMMAD Ezzat

Bagi Muhammad Ezzat Haziq Muhammad Kamaruddin, 25, berkata, turut meluahkan rasa syukurnya kerana individu sepertinya itu turut tidak terlepas daripada menerima bantuan yang bakal diagihkan itu.

Baginya yang terjejas akibat terpaksa dicutikan sementara berkata terpaksa mencari jalan pekerjaan lain dengan menyertai perkhidmatan penghantaran makanan bagi menyara kehidupannya.

“Alhamdulillah ada juga usaha kerajaan untuk bantu rakyat semakin susah akibat ekonomi yang semakin menurun kali ini.

“Ini merupakan satu inisiatif yang paling terbaik biarpun hanya RM100 sekurangnya ia membantu saya dan dapatlah dijadikan sebagai modal bagi memulakan pekerjaan

“Kepada anak muda yang masih ada kudrat perlu maju kehadapan dan jangan memilih pekerjaan tapi perlu serlahkan bakat yang ada dalam keadaan ini kerana sekurangnya kita melakukan sesuatu yang berfaedah dan tidak hanya bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata,” katanya.

Semalam, kerajaan bersetuju meluluskan BPR berjumlah RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bawah RM2,500 sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘total lockdown’ bermula hari ini hingga 14 Jun depan.

Bagi isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 pula bakal menerima BPR berjumlah RM300, manakala individu bujang menerima RM100

Bantuan merupakan sebahagian daripada inisiatif Bantuan PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA + dengan nilai suntikan berjumlah RM2.1 bilion.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post Bukit Aman umum pertukaran 61 pegawai kanan termasuk tujuh pengarah jabatan
Next post ‘Lega masih boleh berniaga’ – Rakyat
Ubah saiz-+=