Sorting by

×

‘Suara saya tidak semerdu Sharifah Aini’

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER LIMAU 1 Jun – “Walaupun nama kami sama, suara saya tidak semerdu suara Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar.

“Allahyarhamah Sharifah Aini pandai menyanyi sedangkan saya sekadar pandai memasak di dapur warung,” kata peniaga warung, Sharipah Aini Hussin, 49.

Dia berkata, namanya diberikan arwah datuk kerana arwah amat meminati lagu nyanyian Sharifah Aini dan nama itu kekal hingga hari ini.

Peniaga itu berkata. setiap kali turun ke sungai untuk memancing udang galah, datuknya sering menyanyikan lagu ‘burung pungguk’ yang dipopularkan penyanyi terbabit.

Datuknya amat gembira apabila dia dilahirkan pada 1972 dan terus memberikan nama berkenaan sempena nama penyanyi pujaannya.

Dia berkata, sebagai cucu perempuan pertama, dia amat disayangi datuknya dan sering mendapat apa yang dihajatinya, terutama mainan kanak-kanak perempuan seperti alat memasak dan anak patung.

“Menurut ibu saya, arwah datuk tidak gemar mendengar nyanyian penyanyi lain kerana minatnya yang amat mendalam terhadap kelunakan suara Syarifah Aini,” katanya ketika ditemui di warung makannya di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina di sini hari ini.

Warung Sharipah Aini tidak putus dikunjungi pelanggan yang membeli secara bungkus di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina Masjid Tanah.
– Foto DIN AHMAD

Mengenai perniagaannya, Sharipah Aini berkata, dia bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan perniagaan kedai makan beroperasi sepanjang penutupan penuh atau ‘total lockdown’ mulai hari ini hingga 14 Jun ini.

Katanya, walaupun sekadar menjual makanan dan minuman dengan kaedah bungkus, ia tetap memberikan kelegaan kepadanya kerana sekurang-kurangnya dia masih mampu meneruskan operasi perniagaan.

“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan pada Mac tahun lalu, perniagaan saya amat terkesan kerana semua sektor ekonomi ditutup dan menyebabkan pelanggan amat kurang,” katanya.

Bagaimanapun, PKP 3.0 sekarang berbeza dengan yang sebelum ini kerana sekarang masih ada pelanggan, terutama pekerja sektor perladangan, pembinaan dan pemandu lori yang lalu lalang di Jalan Masjid Tanah-Lubok Cina di hadapan warungnya.

Katanya, jenis gulai yang dimasak hari ini tidak dikurangkan berbanding sebelum ini kerana dia yakin pelanggan tetap apa, terutama mereka yang bekerja di sektor pertanian dan pemandu lori.

“Ada juga nelayan membeli nasi dan lauk di kedai saya sebelum turun ke laut pada sebelah tengah hari tetapi jualan makanan dan minuman sarapan agak kurang kerana mungkin mereka bersarapan di rumah masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu dia tidak putus berdoa agar Tuhan mengangkat pandemik COVID-19 dan mengizinkan anggota masyarakat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

 

Views:

1346
Kongsi :
Previous post “Ibarat durian runtuh buat kami” – Pemandu teksi
Next post Moratorium: ‘Kenapa pilih-pilih golongan yang layak?’ – Rakyat
Ubah saiz-+=