1,052,145 individu lengkap dos kedua vaksin setakat semalam- DR Adham
KUALA LUMPUR 31 Mei – Seramai 1,052,145 individu telah menerima dos kedua vaksin COVID-19 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Menerusi catatan di Twitternya, beliau berkata seramai 1,860,864 orang telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah pemberian vaksin COVID-19 setakat semalam ialah 2,913,009 dos.
Dr Adham berkata lima negeri tertinggi yang telah melengkapkan kedua-dua dos ialah Selangor dengan 139,427 dos diikuti Sarawak (109,934); Perak (97,558); Kuala Lumpur (94,399) dan Johor (92,231).
Menurutnya, setakat semalam, 49.9 peratus atau 12,117,091 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi sebanyak 3,223,832.
Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lalu melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.