Total lockdown: Hanya 12 sektor perkilangan dibenar beroperasi, kapasiti pekerja 60 peratus
PUTRAJAYA 30 Mei – Kerajaan menetapkan hampir semua sektor perkilangan di negara ini ditutup sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘total lockdown’ bermula 1 hingga 14 Jun depan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun terdapat 12 sektor perkilangan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh tersebut dengan kapasiti 60 peratus pekerja sahaja.
Jelasnya, antara sektor perkilangan yang dibenarkan beroperasi seperti kilang komponen aeroangkasa, makanan dan minuman, pembungkusan dan percetakan, bahan penjagaan diri dan bahan pencuci serta pengeluaran barangan kesihatan dan perubatan.
“Kita berharap semua kilang yang dibenarkan beroperasi ini akur dengan perintah menetapkan hanya 60 peratus pekerja sahaja.
“Sekiranya ada kilang yang melanggar arahan ini, pekerja boleh membuat aduan kepada penguat kuasa di bawah Kementerian Sumber Manusia dan polis supaya diambil tindakan setegas-tegasnya.
“Kepada kilang yang diarah tutup (tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu) jangan ada pula buka operasi secara haram. Saya ingatkan jangan langgar arahan yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail memaklumkan kerajaan memutuskan bahawa kesemua sektor pertanian, perikanan, penternakan dan perladangan berserta rantaiannya dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh 14 hari pelaksanaan PKP penuh.
“Sektor rantaian ini contohnya pertanian memerlukan baja dan lain-lain, jadi kita benarkan kedai menjual baja beroperasi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.