Lelongan ‘total lockdown’ Che Ta habis dijual
AYER KEROH 30 Mei – ‘Walaupun untung tidak banyak, tetapi lebih baik daripada saya menanggung kerugian akibat menyimpan stok rosak akibat ‘total lockdown’.’
Demikian kata peniaga kuih tradisional dan kraftangan, Norita Deris selepas melelong semua jualannya semalam berikutan kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sepenuhnya bermula Selasa ini.
Norita, 49, atau lebih dikenali sebagai ‘Che Ta’ berkata, selepas pengumuman itu, dia terus meuar-uarkan mengenai jualan lelongannya menerusi laman Facebook dan dalam tempoh tidak sampai 24 jam kebanyakan produk jualannya meliputi kerepek dan kuih tradisional habis dijual.
“Semalam, ‘update’ status di Facebook, kerepek bawang; kerepek cendawan; buah nangka; pisang habis dijual dan semuanya dipos ke luar negeri seperti Kedah, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan.
“Lebih kurang jam 12 tengah hari, semua barang makanan habis dijual, hanya tunggu pelanggan ambil sahaja,” katanya ketika ditemui di gerai Medan Perniagaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini.
Menurut Norita, setiap kali arahan penguatkuasaan PKP atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dia akan membuat lelongan bagi mengelakkan pembaziran akibat menyimpan stok terlalu lama.
Katanya, berikutan itu apabila dia membuka semula perniagaannya, dia akan mengambil semua stok barang jualan baru.
“Tak mengapalah rugi sedikit, yang penting barang habis dijual, jadi saya buat lelongan itu supaya pelanggan percaya pada jualan kita pada masa akan datang.
“Mulai esok saya sudah tutup perniagaan, jadi apa yang ada hanya tinggal cencalok, dodol dan belacan sahaja, manakala yang masih berbungkus, saya akan buat COD (bayar selepas terima) sekejap lagi,” katanya.
Sementara itu, bagi Kamsiah Karim, 36, dia membuat jualan murah daripada harga biasa kepada semua barang makanan seperti kerepek dan kuih tradisional bagi memastikan semua stok jualan habis dijual.
Katanya barang makanan perlu dihabiskan secepat mungkin kerana ia tidak bertahan lama berbanding barang kraftangan yang boleh disimpan lama.
“Esok hari terakhir saya berniaga dan dalam tempoh PKP 3.0 sepenuhnya nanti, saya masih menjalankan perniagaan atas talian kerana saya mempunyai pelanggan tetap yang kebanyakannya terdiri daripada luar Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.