Kekalkan penyu khazanah laut negara
TANJUNG BIDARA 6 Julai – Kerajaan negeri harus meningkatkan usaha mengekalkan penyu kerana ia adalah khazanah maritim negara yang mengalami ancaman kepupusan agak serius.
Negeri yang menerima pendaratan penyu pada jumlah yang tinggi, termasuk negeri ini harus memastikan haiwan berkenaan tidak pupus sama sekali, terutama yang berpunca daripada tangan manusia.
Sehubungan itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronalad Kiandee menegaskan, semua kerajaan negeri harus memastikan penyu kekal sebagai khazanah laut negara berikutan ancaman kepupusan yang semakin membimbangkan.
Katanya, ancaman kepupusan penyu berpunca daripada faktor semulajadi dan tangan manusia dan usaha mengekalkannya perlu membabitkan semua pihak bagi memastikan negara tidak kehilangan sumber haiwan maritim itu.
“Penyu adalah antara spesies terancam dan menghadapi penurunan kadar populasi yang serius dan sudah tiba masanya kita belajar dan mencuba mendekati hidupan alam yang lain agar kita memahami setiap kejadian di atas muka bumi ini dan lebih menghargai apa yang dianugerahkan Tuhan kepada kita,” katanya.
Beliau berucap ketika melawat Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) di Padang Kemunting, Masjid Tanah pada Ahad.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi.
Selain melepaskan 140 anak penyu yang baru menetas dan tiga penyu dewasa ke laut, Ronald turut menyampaikan bantuan bencana banjir kepada 11 penternak ikan ar tawar dan watikah kepada 12 renjer penyu.
Ronald berkata, pantai di negeri ini, khususnya di Melaka barat terkenal sebagai kawasan pendaratan penyu karah dan ia seharusnya dikekalkan dengan usaha memulihara haiwan berkenaan yang dijalankan di PKPP.
Katanya, usaha berkenaan terpaksa berhadapan dengan tuntutan pembangunan dan kemajuan, termasuk perairan negeri yang memerlukan tindakan secara bijaksana bagi memastikan penyu tidak pupus sama sekali.
Kajian jabatan perikanan negeri dan PKPP mencatatkan sebanyak 5,143 pendaratan penyu karah di negeri ini, terutama di pantai Melaka barat dari 2009 hingga 2019.
Daripada hanya 380 pendaratan pada 2009, ia meningkat dari semasa ke semasa dengan jumlah paling tinggi dicatatkan pada 2018 sebanyak 600 dan diikuti pada 2017 (573), 2011 (568) dan 2019 (548).
Sebanyak 611,812 biji telur penyu dicatatkan di pantai negeri ini sejak 2009 hingga 2019 dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada 2018 sebanyak 71,044 biji dan diikuti tahun lalu (66,695 biji).
Antara pantai yang menjadi tumpuan haiwan marin itu bertelur ialah Padang Kemunting, Pasir Gembur, Balik Batu, Kem Terendak, Tanjung Bidara, Teluk Belanga, Kuala Linggi, Meriam Patah, Tanjung Serai, Tanjung Dahan, Pengkalan Balak dan Pulau Upeh.