Tiada kaki pacing, nelayan hilang pendapatan sampingan
AYER LIMAU 30 Mei – Sungai Rembau, Sungai Ramuan Cina dan Kuala Linggi, di Lubok Cina, di sini yang menjadi tumpuan kaki pancing udang galah, sepi sejak setahun lalu berikutan pandemik COVID-19.
Ia bakal bertambah sunyi daripada kunjungan kaki pancing apabila penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama dilaksanakan di seluruh negara selama 14 hari, mulai Selasa ini.
Ketiadaan kaki pancing dari daerah dan negeri lain yang sebelum ini sering menyewa bot gentian kaca nelayan untuk memancing udang galah, menyebabkan nelayan sungai di sekitar Lubok Cina kehilangan sumber pendapatan sampingan.
Pemilik bot, Mohd Taufik Ramli, 27, berkata sebelum pandemik melanda, dia sering membawa kaki pancing yang menyewa botnya untuk memancing udang galah di sungai berkenaan.
Petugas syarikat swasta itu berkata, walaupun bukan nelayan, sebagai anak jati Kampung Paya Lebar, di sini dia memiliki bot dan enjin motor sangkut 15 kuasa kuda untuk menangkap ikan, udang dan ketam pada hujung minggu serta menyewakannya kepada kaki pancing.
“Saya simpati dengan nasib 30 nelayan sungai yang kehilangan pendapatan sampingan antara RM250 hingga RM1,000 sebulan berikutan ketiadaan kaki pancing menyewa perahu mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Kepahitan itu semakin berat apabila penutupan penuh dilaksanakan Selasa ini,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Paya Lebar hari ini.
Dia berkata, sejak pandemik itu melanda, tiada kaki pancing dari negeri lain, terutama Kuala Lumpur yang mendapatkan perkhidmatan nelayan membawa mereka memancing di sungai berkenaan.
Nelayan, Rezwan Abdul Maulud, 22, berkata nelayan mengenakan purata sewaan RM250 bagi empat atau lima kaki pancing dalam satu perahu dan ia termasuk kos petrol dari jeti ke lubuk udang galah.
“Jika kami boleh menyewakannya empat kali sebulan, kami ada pendapatan sampingan M1,000,” katanya.
Dia berkata, pendapatan sampingan itu bukan setakat membantu nelayan membiayai perbelanjaan keluarga, malah tabungan untuk digunakan ketika hasil tangkapan merosot atau enjin motor sangkut dan peralatan menangkap ikan rosak.
Katanya, nelayan tidak ada pilihan, selain bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Dia berkata, bebanan itu lebih dirasakan nelayan yang tidak memiliki lesen menangkap ikan yang tidak menerima elaun sara hidup nelayan bernilai RM300 sebulan dan kemudahan e-petrol berbanding nelayan berlesen yang menerima bantuan berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.