Ambil pengajaran PKP 1.0, tiada belian panik dalam kalangan pengguna di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 29 Mei – Tiada pembelian panik, sebaliknya orang ramai dilihat beratur panjang kerana mengambil giliran memasuki pasar raya di sekitar bandar raya ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di sebuah pasar raya hari ini mendapati orang ramai lebih tenang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sepenuhnya yang akan bermula pada Selasa ini hingga 14 Jun.

Malah, orang ramai dilihat tidak berpusu-pusu memilih barangan keperluan sebagaimana situasi berlaku pada PKP 1.0 terdahulu hingga banyak bekalan makanan kehabisan stok.

Tinjauan turut mendapati orang ramai beratur panjang berikutan pasar raya mengenakan sekatan terhadap jumlah pengunjung sebelum memasuki premis bagi mengelakkan ruang dalam pasar raya sesak.

Bagi Norzaini Akashah, 55, dia mengambil pengalaman daripada PKP 1.0 supaya tidak melakukan pembelian panik kerana tidak mahu bersesak dalam pasar raya memandangkan kes COVID-19 semakin meningkat.

Dia yang berkhidmat dalam sektor perbankan berkata, secara kebetulan dia mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membeli barang keperluan bagi tempoh sebulan.

“Tadi saya pergi ke sebuah pasar raya di Klebang tetapi beratur panjang, tak larat menunggu saya pergi ke pasar raya ini untuk membeli keperluan.

“Tak ada pembelian panik pun sebab sebelum ini sudah berpengalaman dengan PKP 1.0 yang mana kita masih dibenarkan keluar rumah untuk beli keperluan, bukannya arahan berkurung,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Malim, di sini hari ini.

NORLILAH.

Sementara itu, Norlilah Mbor, 56, berkata dia sudah bersedia untuk menghadapi PKP 3.0 sepenuhnya berikutan kes mendadak naik setiap hari.

“Dari segi persiapan, saya tidak risau sangat untuk membeli keperluan sebab sudah biasa dengan arahan sebelum ini.

“Saya hanya keluar rumah bila perlu dan ketika anak berkelapangan untuk membawa saya membeli barang keperluan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

517
Kongsi :
Previous post Orang ramai patuh SOP ketika membeli-belah
Next post Selamat Hari Wartawan Nasional 2021!
Ubah saiz-+=