Penjaja rugi dah ‘standby’ beli stok awal
AYER KEROH 29 Mei – Peniaga dan penjaja kecil di negeri ini berdepan kerugian jika tidak dibenarkan beroperasi apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya dilaksanakan bermula 1 hingga 14 Jun ini.
Ini berikutan kebanyakan mereka sudah mengeluarkan kos bagi membeli stok barangan untuk seminggu perniagaan.
Seorang peniaga, Nurasma Husna Bakri,30, berkata dia membelanjakan kira-kira RM500 untuk membeli keperluan perniagaannya dua hari sebelum PKP sepenuhnya diumumkan kerajaan semalam.
Bagaimanapun katanya, sebagai rakyat dia akur dengan arahan itu demi memastikan kesihatan awam rakyat di negeri ini terjamin, namun pada masa sama berharap PKP sepenuhnya tidak berlanjutan untuk tempoh jangka panjang.
“Jika tidak dibenarkan berniaga, sememangnya memberikan kesan kepada saya kerana bergantung kepada pendapatan harian, jadi kalau buat PKP penuh barang-barang yang dibeli tidak boleh digunakan.
“Mujur saya hanya membeli stok barangan kering sahaja jadi boleh disimpan untuk jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui di gerai jualannya di Cheng.
Sementara itu, bagi Muhd Iskandar Nazarudin, 21 yang berniaga kuih dan air di tepi sebuah pasar raya berkata, dia menghabiskan kira-kira RM700 hingga RM800 untuk membeli keperluan stok jualan setiap minggu.
“Boleh dikatakan rugi juga kerana saya sudah ‘standby’ awal untuk beli stok barang, alih-alih diarahkan PKP penuh.
“Bagaimanapun, Alhamdulillah selepas pengalaman menjalani PKP 1.0, saya lebih berjimat dan perlu ada simpanan untuk menghadapi PKP semula,” katanya.
Berlainan pula bagi penjual air, Melisa Japil,36, yang turut menjalankan perniagaan atas talian selain menjaja di tepi jalan.
Jelasnya, arahan PKP sepenuhnya itu tidak menjejaskan pendapatan hariannya kerana dia sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan melakukan perniagaan lain untuk menjana pendapatan.
“Sebagai peniaga sudah tentu kita terkesan namun apa boleh buat, demi kesihatan rakyat, saya sendiri sebagai peniaga terpaksa akur.
“Jadi untuk sementara ini, jika tidak dibenarkan berniaga di tepi jalan, saya buat perniagaan atas talian lain dengan menjual ayam madu jadi boleh melakukan ‘cash on delivery’ berdasarkan permintaan.
“Ramai peniaga sudah belajar daripada pengalaman PKP 1.0 dan lebih bersedia jadi saya sendiri gunakan pendekatan kreatif untuk melakukan apa juga jenis perniagaan untuk kelangsungan hidup,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.