Sorting by

×

Fenomena Istiwa A’dzam esok, jadi panduan arah kiblat

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 27 Mei – Umat Islam di negeri ini boleh melakukan semakan semula arah kiblat bagi menunaikan solat ketika matahari Istiwa di atas Kaabah.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Bahagian Falak, Jabatan Mufti Melaka berkata, fenomena yang dikenali sebagai Istiwa A’dzam itu adalah keadaan di mana matahari Istiwa berada tepat di atas titik zenit Kaabah.

Kata kenyataan itu, berdasarkan fenomena itu, bayang-bayang sesuatu objek yang menerima cahaya matahari ketika Istiwa A’dzam boleh dijadikan panduan arah kiblat.

“Ini disebabkan pada ketika itu bayang-bayang objek yang tegak akan menghala arah kiblat.

“Matahari Istiwa di atas Kaabah akan berlaku pada setiap tahun di Malaysia pada 28 Mei jam 5.16 petang dan 16 Julai jam 5.28 petang,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, umat Islam di negeri ini boleh membuat semakan mengikut waktu yang tepat dan merujuk ke laman web mst.sirim.my untuk panduan lanjut.

“Bagi semakan arah kiblat, umat Islam perlu memilih ruang di dalam rumah atau tempat solat yang menerima cahaya matahari pada jam 5.16 petang esok (28 Mei).

“Susulan itu, tegakkan satu tiang di ruang berkenaan atau boleh juga menggunakan bayang sisi tingkap yang membolehkan cahaya Matahari masuk ke ruang berkenaan dan pastikan tiang itu betul-betul tegak.

“Jika arah bayang itu sama lurus dengan arah kiblat tempat solat di dalam rumah atau pejabat maka arah kiblat yang digunakan sebelum ini adalah tepat dan betul,” jelas kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu berkata, jika arah bayang menunjukkan serong dengan arah kiblat sebelum ini maka arah kiblat sebelum ini kurang tepat.

Jelasnya, berikutan itu arah kiblat itu boleh diperbetulkan mengikut arah bayang pada jam 5.16 petang esok.

“Semakan boleh juga dilakukan dengan menggunakan bayang yang ditunjukkan oleh sebarang objek yang tegak lurus seperti tiang bendera masjid, sisi tingkap, sisi pintu atau sisi masjid,” kata kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

721
Kongsi :
Previous post Angkara kilang ayam, 2,000 penduduk di tiga kampung diserang lalat dan bau busuk
Next post Pelajar pulang beraya cetus Kluster Jalan Kolej Yayasan
Ubah saiz-+=