MPAG pagar replika penyu karah, cegah vandalisme

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

TANJUNG BIDARA 27 Mei – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) membina pagar di sekeliling replika penyu karah di pantai Pengkalan Balak, di sini bagi menyelamatkannya daripada perbuatan vandalisme.

Daripada 20 replika telur penyu yang disediakan pada 28 Disember lalu, hanya enam masih elok, manakala sebahagian besar rosak termasuk hilang tangan dan kaki akibat dipijak pengunjung, terutama kanak-kanak.

Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadhil Hassan berkata, pemasangan pagar dilakukan kerana tindakan pengunjung yang tidak mengambil berat fungsi sebenar replika itu.

MOHD Fadhil.

“Replika penyu dan telur penyu serta anak penyu baru menetas dibina bagi memberi peluang kepada pengunjung mengambil gambar, terutama ketika matahari terbenam.

“Bagaimanapun, ada segelintir pengunjung duduk di atas replika itu untuk makan dan membiarkan anak mereka memanjatnya.

“Pemasangan pagar mampu mengelakkan replika berkenaan mengalami nasib yang lebih buruk, selain melambangkan langkah menyelamatkan penyu di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, MPAG memperuntukkan RM20,000 kepada syarikat swasta untuk membina replika berkenaan bagi meningkatkan industri pelancongan di pantai peranginan itu.

Keunikan seni bina replika itu yang diadaptasi daripada penyu karah yang dipulihara di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Padang Kemunting, di sini berjaya menarik kehadiran lebih ramai pengunjung di pantai berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1507
Kongsi :
Previous post Ubah kerjaya demi kelangsungan kehidupan
Next post Penganggur berdepan hukuman gantung bunuh bekas abang ipar
Ubah saiz-+=