‘Mak buka mata mak, mengucap mak, ampunkan mak ya Allah’
AYER KEROH 24 Mei – Ketika negara terus mencatatkan peningkatan kes COVID-19 saban hari, sebuah keluarga hari ini meraung meratapi kehilangan insan tersayang yang turut menjadi korban virus berbahaya itu.
Kisah kesedihan lapan sekeluarga itu tular menerusi rakaman panggilan video berdurasi satu minit 37 saat yang tersebar melalui media sosial sehingga meruntun perasaan sesiapa sahaja yang melihatnya.
Berdasarkan keterangan pada rakaman yang tersebar itu, kes dipercayai berlaku jam 4.45 pagi tadi di Hospital Shah Alam, Selangor dan wanita terbabit didakwa meninggal dunia selepas tiga minggu bertarung nyawa selepas dijangkiti COVID-19.
“Hari ini 24 Mei pukul 4.45 pagi tadi, ibu mentua kesayangan saya telah kembali ke rahmatullah. Meninggal dunia di Hospital Shah Alam. Arwah meninggal sebab COVID-19. Tiga minggu dalam ICU (unit rawatan rapi) sebab sesak nafas perlukan bantuan oksigen.
“So,(jadi) punca kene COVID adalah kerana kakak ipar dapat melalui kawan ‘office’ dia. Kakak ipar jumpa mak mentua saya cium tangan dan berborak (berbual) rapat-rapat. Bila kakak ipar pergi buat ‘swab test’ positif (COVID-19).
“Bawa mak mentua pergi ‘test’ terus positif. Boleh bertahan tiga minggu sahaja selepas itu meninggal dunia. Jadi hati-hati kawan-kawan semua ya,” demikian menurut tulisan yang tersebar selepas dikemaskan untuk pembaca.
Turut dijelaskan adalah rakaman video berkenaan dibuat selepas diminta doktor untuk anak-anak melihat buat kali terakhir wanita berkenaan sebelum meninggal dunia.
Sepanjang rakaman itu, ketujuh-tujuh individu di dalam video berkenaan yang dipercayai anak serta menantu wanita berkenaan tidak putus-putus meraung meminta wanita terbabit membuka mata.
Ketika itu, wanita terbabit dilihat tidak memberikan sebarang reaksi dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan yang dipasang.
“Mak buka mata mak, bangun mak, mengucap mak…,” kata wanita dalam rakaman berkenaan yang sempat mengajar ibunya mengucap kalimah syahadah sebelum panggilan video tamat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.