Operasi, pemeriksaan harga berjalan seperti biasa
MELAKA 24 Mei – Tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan harga barang oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka berjalan seperti biasa biarpun pengoperasian pejabat kerajaan dan agensi di negeri ini kini dilaksanakan secara hibrid.
Pengarah KPDNHEP negeri Norena Jaafar berkata, hanya kakitangan yang terlibat dengan tugas pentadbiran dan kewangan berjumlah tujuh orang akan berada di pejabat mengurus operasi harian.
Menurutnya, kakitangan unit penguatkuasaan akan bertugas secara giliran membuat operasi pemeriksaan pemantauan harga barangan tanpa perlu berada di pejabat.
“Anggota penguat kuasa akan tetap membuat operasi dan pemeriksaan harga barangan dari semasa ke semasa mengikut jadual kerja yang sedia ada dan mereka tidak perlu pulang semula ke pejabat selepas selesai operasi.
“Pelaksanaan prosedur operasi standard baharu ini tidak ganggu operasi pejabat dan tugas penguatkuasaan KPDNHEP, semua kakitangan bertugas seperti biasa mengikut jadual kerja yang sama dipraktikkan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Beliau diminta mengulas mengenai pelaksanaan pengoperasian pejabat kerajaan dan agensi dilaksanakan secara hibrid melalui keberadaan di pejabat dan Bekerja Dari Rumah (BDR) mengikut kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pendekatan itu meliputi kehadiran ke pejabat 20 peratus keseluruhan (tidak termasuk frontliner) dan 80 peratus secara BDR secara penggiliran.
Menurut Norena, ketika ini KPDNHEP mempunyai seramai 32 anggota penguat kuasa di Melaka.
Selain itu, katanya, semua kakitangan di bawah agensi itu sentiasa diberi peringatan agar mematuhi SOP dan mengamalkan penjarakan fizikal di mana sahaja mereka berada demi mengelak risiko jangkitan COVID-19.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.